
Harum nama negara di pentas dunia: Pensyarah Kolej Komuniti Jasin raih pembentang terbaik di Arab Saudi
Kejayaan manis buat warga pendidik Malaysia apabila Pensyarah Kolej Komuniti Jasin, Melaka, Mohd Fazrin Hamdan diumumkan sebagai Pembentang Kertas Kerja Penyelidikan Terbaik pada International Conference on Professional and Academic Excellence (Tarbawi 2025) yang berlangsung di Hotel Palestin, Arab Saudi, baru-baru ini.
Membawa tajuk penyelidikan ‘Tahap Kesedaran dan Pengetahuan Pembayaran Zakat Secara Atas Talian Dalam Kalangan Staf dan Pelajar Kolej Komuniti Jasin Melaka’, kejayaan beliau sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila berjaya menewaskan 34 pembentang lain dari pelbagai negara, termasuk Brunei, Mesir dan Indonesia.
Fazrin, 40, berkata, kejayaan itu bukan mudah dicapai kerana saingan daripada wakil negara lain sangat sengit dan berkualiti tinggi.
“Bukan mudah untuk mendapat pengiktirafan di negara luar kerana semua pembentang mempunyai pengalaman dan hasil kajian yang hebat. Saya sangat bersyukur kerana usaha keras akhirnya membuahkan hasil,” katanya ketika ditemui sejurus pulang ke tanah air.

Persidangan yang bertemakan Challenge of Artificial Intelligence (AI) in Education and Syariah Law itu menilai peserta berdasarkan pelbagai aspek termasuk kemahiran komunikasi, kejelasan penyampaian dan keupayaan mengendalikan sesi soal jawab dengan audiens secara berkesan.
“Bagi mendapat markah tertinggi, pembentangan mesti menarik, padat dan berimpak. Kita perlu mampu menyampaikan idea dengan jelas serta berinteraksi secara dua hala bersama audien,” tambahnya.
Tidak hanya berhenti di pentas akademik, Fazrin turut mengambil peluang menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Arab Saudi dan Mesir.
Melalui kerjasama antara Tarbawi Malaysia dan Tarbawi Group Official, beliau serta rakan pembentang lain mengagihkan makanan kepada golongan asnaf di Madinah dan Kaherah.
“Program CSR ini amat bermakna kerana bukan sahaja dapat membantu mereka yang memerlukan, malah memberi peluang kepada kami untuk menimba pengalaman baharu dalam kerja kebajikan di luar negara,” ujarnya.
Mohd Fazrin berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada warga akademik lain untuk terus berkongsi ilmu dan memperkaya dunia penyelidikan.
“Saya akan terus menulis dan berkarya, bukan sekadar untuk pengiktirafan tetapi bagi menyemarakkan budaya ilmu dalam kalangan pendidik dan pelajar,” katanya mengakhiri bicara.
Ringkasan AI
- Kejayaan manis buat warga pendidik Malaysia apabila Pensyarah Kolej Komuniti Jasin Melaka, Mohd Fazrin Hamdan diumumkan sebagai Pembentang Kertas Kerja Penyelidikan Terbaik pada Tarbawi 2025 di Arab Saudi
- Beliau berjaya menewaskan 34 pembentang lain dari pelbagai negara dengan tajuk penyelidikan 'Tahap Kesedaran dan Pengetahuan Pembayaran Zakat Secara Atas Talian Dalam Kalangan Staf dan Pelajar Kolej Komuniti Jasin Melaka'
- Fazrin menyatakan kejayaan itu datang dengan susah payah kerana saingan yang sengit dan berkualiti tinggi dari wakil negara lain
- Kriteria penilaian di konferensi itu termasuk kemahiran komunikasi, kejelasan penyampaian dan keupayaan mengendalikan sesi soal jawab
- Selain berjaya di pentas akademik, Fazrin turut mengambil peluang menjalankan program tanggungjawab sosial korporat di Arab Saudi dan Mesir
