Pengorbanan seorang bapa dan ibu yang sanggup melakukan apa sahaja demi memberikan pendidikan terbaik kepada anaknya. Kredit foto: Tiktok UMPSA
Pengorbanan seorang bapa dan ibu yang sanggup melakukan apa sahaja demi memberikan pendidikan terbaik kepada anaknya. Kredit foto: Tiktok UMPSA

‘Inilah pengorbanan kami buat anak yang disayangi’ - Cikgu Tahir

ROSHLAWATY MD RAIEH
02 Oct 2023 04:38pm
A
A
A

“Kami sekeluarga sangat terkejut kerana video berjalan kaki memasuki Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Sabtu lalu tular di semua platform media sosial.

“Sebenarnya, apa yang dilakukan itu hanyalah sebahagian pengorbanan seorang bapa dan ibu yang sanggup melakukan apa sahaja demi memberikan pendidikan terbaik kepada anaknya,” kata Tahir Untong.

Merupakan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Ulu Merapok, Lawas, Sarawak, beliau yang kini berusia 57 tahun berkata, anaknya iaitu Nurbatrisyia Husna Tahir, 19, bakal mengikuti pengajian Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Petroleum) dengan kepujian di universiti terbabit.

“Kepada Nurbatrisyia dan mahasiswa baharu yang lain, belajarlah bersungguh-sungguh demi membina masa depan yang lebih baik.

“Paling penting, hargailah segala pengorbanan ibu bapa selama ini,” ujar Cikgu Tahir.

Mengulas lanjut mengenai video tular terbabit, Cikgu Tahir mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas kepada seluruh rakyat Malaysia yang begitu prihatin sekali gus menitipkan doa buat mereka sekeluarga.

“Susulan video tersebut, ramai rakan-rakan guru yang tinggal di Pahang dan Kuala Lumpur menelefon untuk menghulurkan bantuan.

“Namun saya menolak bantuan mereka dengan baik kerana kami sekeluarga ingin merasai sendiri kembara ke negeri Pahang,” jelasnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai kembaranya ke negeri yang ketiga terbesar di Malaysia, Cikgu Tahir melahirkan rasa terujanya kerana berpeluang berkunjung ke Pahang.

“Kami sekeluarga mengambil keputusan menaiki kapal terbang dari Kota Kinabalu, Sabah ke Kuala Lumpur kerana ingin melihat sendiri keindahan Pahang yang tidak pernah dikunjungi sebelum ini.

“Setiba di Kuala Lumpur, kami menginap di sebuah hotel dan keesokannya barulah ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur untuk mendapatkan bas ke UMPSA,” jelas beliau.

Sambung Cikgu Tahir lagi, mereka memilih perkhidmatan bas ke universiti terbabit semata-mata mahu menyaksikan dan mengenali daerah-daerah di negeri Pahang sepanjang perjalanan berkenaan.

Pada masa yang sama, beliau ingin memberi pengalaman kepada Nurbatrisyia yang pasti akan menggunakan perkhidmatan awam untuk pulang ke Sarawak ketika cuti semester kelak.

Akhir sekali, Cikgu Tahir ingin mengucapkan terima kasih dengan keprihatinan pihak UMPSA yang membantu menyediakan kenderaan untuk membawa mereka sekeluarga ke lokasi pendaftaran dan asrama setibanya sampai di kampus itu.

“Selain ke lokasi pendaftaran dan asrama, mereka juga membawa kami membeli barang keperluan seperti bantal, baldi, keperluan diri dan sebagainya di beberapa pasaraya berhampiran.

“Malah UMPSA juga menawarkan kami menginap di rumah tamu...bagaimanapun saya dan ahli keluarga terpaksa menolak kerana ingin menginap di hotel sekitar bandar Kuantan, Pahang seterusnya menikmati keindahan bandar berkenaan,” ujarnya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok