
'Jangan hadiahkan apa-apa, tapi jika nak bagi juga, saya rela terima satu sahaja pen merah. Itu sudah cukup buat saya'
"Salam sejahtera semua. Saya ingin meminta jasa baik parents dan anak-anak murid untuk tidak menghadiahkan saya apa-apa sempena Hari Guru yang bakal tiba ya. Buatlah satu kad ucapan dan berikan pada saya. Itu sudah memadai...kalau anak masih nak juga...saya rela terima satu aje pen merah. Tu dah cukup. Kejayaan anak-anak dalam Bahasa Inggeris adalah hadiah untuk saya selama-lamanya. Harap permintaan saya dihormati ya. Terima kasih."
Demikianlah catatan penuh ikhlas yang ditulis oleh seorang guru dan dikongsi tiraril1007 di akaun Threads baru-baru ini.
Menerusi curahan hati guru berkenaan, beliau tidak pernah mengharapkan sebarang hadiah sempena Hari Guru dan pendekatan rendah hatinya telah meraih pelbagai reaksi positif daripada warga maya.
Kongsi tiraril1007, apa yang dilakukan oleh guru hebat itu cukup menyentuh hati dan menjadi bukti bahawa keikhlasan seorang pendidik tidak ternilai dengan wang ringgit.
"Saya puji sangat-sangat guru begini. Moga segala urusan guru baik ini dipermudahkan," tulisnya di Threads.
Menjengah di bahagian komen, ramai warga maya termasuk guru tampil meluahkan rasa kagum dan tersentuh hati dengan sikap rendah diri guru tersebut.
Kata mereka, coretan itu nyata membuka mata banyak pihak bahawa nilai kasih sayang dan keikhlasan dalam dunia pendidikan adalah anugerah yang tiada tandingan.
"Saya tak pernah mengharapkan hadiah dari murid. Kalau nak bagi juga bagilah pen merah Eco. Tapi saya tetap sediakan hadiah untuk cikgu anak saya."
"Tahun lepas, ada seorang pelajar datang jumpa saya. Dia panggil dan bisik, ‘Teacher, i'm sorry. Saya tak ada hadiah apa-apa untuk teacher sempena Hari Guru, tapi saya doakan semoga tuhan teacher selalu menjaga teacher sekeluarga’. (She's Indian). Bila dengar, terus saya peluk dia! Saya cakap ‘This is the best gift ever! Terima kasih doakan teacher'. Agaknya saya masih sihat dan selalu dipermudah urusan sebab atas doa anak-anak ini semua."
"Saya pun suka kad. Boring-boring baca balik ayat-ayat murid bagi. Kadang-kadang mereka suka cerita awal-awal perkenalan sampai habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia. Saya simpan dalam album."
"Like my daughter, teacher. Nama dia Madam Uma. Every year dia cakap tak nak apa-apa."