Kanak-kanak di Malaysia kurang mendapat pendidikan secukupnya?
Laporan Bank Dunia berkaitan kualiti pembelajaran dan pendidikan di Malaysia baru-baru ini, sedikit memberi kesan dan mencalar imej negara untuk menjadi hub Pendidikan antara terbaik di Asia Tenggara dan dunia amnya.
Kenyataan itu menunjukkan seolah-olah Malaysia masih berada di takuk lama sekali pun suku abad pertama telah hampir tamat dan negara bersedia untuk menghadapi suku abad kedua di abad ke-21 ini.
Laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia itu agak negatif merujuk kepada kualiti pendidikan yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat.
Enrolmen yang tinggi di prasekolah dan sekolah rendah, namun murid-murid dilihat masih tidak menunjukkan kesediaan untuk belajar dan penguasaan mereka terhadap kemahiran asas sangat rendah.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam misi mencapai zero defect bagi membekalkan pendidikan berkualiti sepatutnya melihat kembali akan standard pembelajaran yang digariskan dalam mencapai objektif pendidikan yang diharapkan.
Lebih terkesan apabila Bank Dunia cuba membuat perbandingan kualiti pembelajaran di Malaysia dengan negara-negara jiran serantau yang menunjukkan kualiti pembelajaran lebih baik dengan bajet pendidikan yang lebih rendah.
Adakah pendidikan yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat tidak mencapai kualiti pendidikan global sebagaimana yang diharapkan?
Perbandingan Bank Dunia juga agak menggemparkan apabila murid-murid di Malaysia menghabiskan masa yang lebih lama berbanding dengan negara serantau tetapi kualiti dan penguasaan murid tidak setara dengan masa dihabiskan di sekolah. Rata-rata murid kita menghabiskan 12.5 tahun di sekolah tetapi kualiti masa yang dihabiskan hanya bersamaan dengan 8.9 tahun.
Kanak-kanak di Malaysia tidak cukup mendapat pendidikan dan kurang belajar sehingga penguasaan terhadap kemahiran asas belajar dan kesediaan untuk belajar juga masih rendah.
Dilaporkan juga sejumlah 98 peratus kanak-kanak telah menerima pendidikan awal di prasekolah, namun 24 peratus daripadanya tidak menguasai kemahiran dan tahap kesediaan belajar juga rendah. Ke mana perginya baki masa yang dihabiskan itu?
Adakah KPM tidak benar-benar merancang akan pendidikan berkualiti kepada murid-murid sehingga ia menjejaskan kualiti pendidikan yang seharusnya mereka dapat sepanjang tahun belajar di sekolah?
Adakah silibus yang dirancang oleh KPM masih lagi rendah berbanding dengan negara serantau?
Amat ketara apabila perbandingan kualiti masa yang dihabiskan oleh murid di sekolah dibandingkan dengan negara Vietnam dengan bajet dan kualiti yang jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negara kita dan Malaysia jauh ketinggalan kebelakang dalam PISA berbanding Singapura dan Vietnam.
Kualiti pembelajaran dan penguasaan kemahiran sewaktu di sekolah sepatutnya diambil kira dalam menentukan kemenjadiaan murid.
Apakah kayu ukur yang digunakan oleh KPM dalam menentukan hala tuju dan matlamat pendidikan dalam merealisasikan insan yang seimbang dan harmonis sebagaimana yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)?
Dilihat kepada tahap penguasaan murid dan pelajar dalam peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saban tahun menunjukkan peningkatan penguasaan, namun adakah ia gambaran sebenar diharapkan atau sekadar menyedapkan hati rakyat Malaysia akan hakikat bahawa tahap pendidikan di negara ini tidak mencapai standard yang setanding dengan negara serantau.
Pemerkasaan guru
Laporan oleh Bank Dunia juga menyentuh tentang kualiti guru dan standard yang ditetapkan oleh KPM dalam merencanakan pendidikan berkualiti. Pemerkasaan guru seharusnya diberikan perhatian utama kerana guru adalah sumber pengetahuan pelajar.
Hanya guru yang berkualiti dapat memberikan pengetahuan dan ilmu kepada murid sekali gus menjamin masa belajar murid lebih berkualiti.
Jika di Eropah, untuk menjadi seorang guru, kelayakan minimum mempunyai ijazah sarjana dalam pendidikan dan tahap penguasaan bidang bagi menjamin murid mendapat pengetahuan yang berkualiti.
Guru-guru digalakkan melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi supaya ilmu yang dipelajari dapat disampaikan kepada murid-murid.
Adakah negara kita bersedia melatih guru-guru ke peringkat yang lebih tinggi atau memberi ruang kepada para pendidik untuk meningkatkan kualiti profesionalisme bagi menjamin kualiti pembelajaran di sekolah tidak disia-siakan?
Menghabiskan masa yang lama di sekolah sepanjang usia kanak-kanak sehingga remaja perlu diisi dengan ilmu yang berkualiti dan pembelajaran bermakna.
Masih tidak terlambat bagi Malaysia dalam merencanakan pendidikan berkualiti dengan masa yang tidak terlalu panjang kerana jiwa murid-murid sentiasa dahagakan ilmu.
Cuma apa yang perlu disediakan adalah prasarana yang baik dan ilmu yang berkualiti sepanjang murid-murid belajar di sekolah dan dalam masa yang sama murid-murid berasa gembira dan menjadikan sekolah sebagai satu tempat menimba ilmu yang bermanafaat dan menjamin masa depan mereka dalam mengharungi kehidupan di masa depan.
Maklumat Penulis,
Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya (UMFRDC), Dr Abd Razak Zakaria
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my