Karya unggul guru Malaysia!
Hayati keindahan kata-kata dalam koleksi karya dihasilkan warga pendidik yang hebat, berkaliber dan serba boleh di negara ini.
Semoga himpunan berkenaan memberi inspirasi dan menjadi titik awal perubahan yang positif dalam perjalanan dunia pendidikan.
1) Kenangan 2023 diingati, pengharapan 2024 dinanti
Berakhir sejenak perjalanan sedekad
jatuh bangun segala tamsilan kehidupan
rebah tersungkur mencari keberkatan
luka berdarah mendidik setiap jiwa
dalam kelelahan mencari sekelumit reda
agar perjuangan bersulam kerahmatan
pada setiap denyut nadi yang bergetar
dan hati suci si kecil yang menerima.
Perjalanan 2023 yang penuh berliku
berhias suka duka rencam pada laluan yang ditempuh
berkali tersadung mengajar erti
agar tidak rebah sekali lagi
menjadi azimat pengingat diri
kegigihan dalam kepayahan
ketabahan dalam kesukaran
memaksa diri mencari mujarab yang terbaik
memperbaiki niat dan hati
agar tidak tergelincir ke lembah persimpangan nanti.
Pengharapan 2024 yang bakal menjelma
buat seluruh anak bangsa
bakal pemimpin terkemuka dunia
usahlah khuatir perjalanan sukma
sudah termaktub rezeki semua
asalkan ada kesungguhan dan usaha
dalam menggenggam kemilau jaya
dan ingatlah semua duhai anak bangsa
adab dijunjung mendahului segala
guru dihormati tertib dijaga
agar keberkatan ilmu di dada
menjadi pendinding rahsia kejayaan untuk semua.
- Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Danau Kota (2), Kuala Lumpur, Cikgu Abd Rahim Yahya
2) Dugaan
Semua yang terjadi
Pasti ada hikmah di kemudian hari
Kita harus hadapi
Dugaan yang diberi
Jangan mengeluh atau meratapi
Dengan cabaran ini.
Covid-19 di muka bumi
Contoh satu dugaan yang semua rasai
Diberikan ALLAH untuk umatnya kecapi
Semua yang diberikan ini
Adalah untuk menyedarkan
Umatnya yang masih tidak sedar diri.
Wahai manusiawi
Kita sudah sampai ke penghujung hari
Haruslah kita sedari
Bahawa musibah yang menimpa ini
Adalah satu petanda dari Ilahi.
Insaflah diri ini
Jangan sibuk mencari
Daki dunia yang lagha ini
Tapi jom kita bersama-sama mencari bekalan akhirat untuk ke sana nanti.
Ya ALLAH Ya Maha Merahmati
Ampunilah kami
Nyahlah Covid-19
Dari muka bumi ini.
- Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Muhamadiah Iskandar Mohamed
3) Pantun: Cabaran Tahun 2024
Kain sutera menghias bidai,
Cantik warnanya dipandang mata;
2023 menutup tirai,
Memori mendidik dirakam bersama.
Terbangnya rendah si kakak tua,
Datang hinggap di pohon sena;
Dasar pendidikan diangkat bersama,
Warga pendidik terus berjasa.
Tumbuh merimbun ditepi hutan,
Daunnya gugur di atas batu;
Mana yang salah diulang jangan,
Mulakan langkah azam yang baharu.
Jauh kelana hingga ke Setiu,
Singgah sebentar di bandar Kuantan;
Guru pedalaman dikenang selalu,
Penat mendidik bukan rungutan.
Batang berduri si bunga mawar,
Cantik dipandang bau melekat;
Jadi pendidik perlu bersabar,
Layan kerenah murid yang hebat.
Busana songket tenunan diraja,
Dipakai puteri sangatlah sopan;
Pelbagai sambutan dirai bersama,
Pupuk murid semangat perpaduan.
Anak teruna mendayung sampan,
Sambil mengail si ikan kerapu;
Semoga pendidikan maju ke depan,
2024 tak sabar dinantikan.
Kalau tuan memasang pukat,
Menanti surut tidaklah jemu;
Warga pendidik terus semangat,
Tahun depan cabaran menunggu.
- Guru Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor Bahru, Cikgu Mohamad Fadzil Edris
4) Tahun 2023 akan meninggalkan kita dengan sejuta rasa dan sejumlah kenangan yang tidak dapat dilupakan. Suka duka, kejayaan atau kegagalan sepanjang tahun ini adalah anugerah pengalaman kehidupan. Pengalaman dilalui itu perlu diletakkan sebagai asas sempadan agar gerak kerja kita sebagai warga pendidik sentiasa berada di landasan betul.
Selamat Datang 2024. Semoga kita dapat memulakan halaman pertama sesi persekolahan 2024 dengan meletakkan sasaran yang tinggi demi cita dan harapan anak-anak yang dicintai. Marilah sama-sama berusaha menjadi Guru Insani yang berjiwa mulia, berhati ikhlas dan sanggup berjuang mendidik anak-anak bangsa demi pembangunan negara dan generasi akan datang.
Nothing Is Impossible
- Guru SK Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah, Cikgu Mawar Abd Rahim
5) Guruku
Guruku,
Tirai tahun 2023 akan berlabuh meninggalkan kita
Meninggalkan segala titik peluh dan penat lelah kita
Meninggalkan segala cerita gembira, meninggalkan segala cerita duka
Semua itu akan menjadi kenangan silih berganti dalam memori mu guru
Semua itu telah dilalui dengan hati tabah, jiwa kental, emosi tersusun dan semangat membara
Ada kalanya cerita-cerita itu yang kadang kala mengores hatimu, air mata sendumu mengalir
Namun atas nekad sebagai guru untuk memanusiakan anak-anak didikmu
Maka semuanya itu perlu berlalu pergi tanpa meninggalkan titik hitam di dalam dada.
Guruku,
Anak-anak didikmu datang dan pergi bersama-sama kejayaan
Mereka akan berdiri di dunia fana ini dengan kudrat ilmumu yang dicurahkan
Walau di puncak mana sahaja mereka berada, semuanya ada kelelahan mu guru
Biarkan mereka bertebaran di bumi ini dengan membawa kudrat dan ilmumu
Doakan mereka agar kesejahteraan terus bersama-samanya.
Guruku,
Kita akan terus melangkah ke 2024 dengan semangat dan iltizam yang tidak pernah pudar
Kita warnai dunia pendidikan ini dengan cahaya pelangi yang memukau
Ayuh! Kita bangkit wahai guru untuk terus memikul amanah dan tanggungjawab mulia ini
Untuk membangunkan anak-anak didik walau di ceruk mana kita berada
Percayalah kelelahan itu adalah nikmat, kegagalan itu adalah hikmah, kegembiraan itu adalah syukur
Tuhan pasti membalasnya dengan kebaikan untukmu wahai guru!
Selamat Menyambut Tahun 2024!
- Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama (SUTAMA), Sungai Buloh, Selangor, Cikgu Noor Hayati Embong
6) Puisi: Bicara Kemara
Birunya langit setinggi harapan
rumput menghijau serendah hati
sahsiah unggul insan terpuji
guru cakna murid disayangi
Sekolah tertua di negeri kedah
nama tersohor dipelusuk negeri
tetamu datang disambut riang
murid terdidik guru sejahtera
365 hari sejuta pengalaman
berbagi rasa dan perasaan
kerjasama dibina kejayaan terlakar
wan kemara gah menunduk rasa
2024 menggorak langkah
hasrat KPM kami genggam
kemenjadian murid diberi keutamaan
karahmah insaniah kami pasakkan
- Guru Bimbingan dan Kaunseling, Guru SK Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah, Cikgu Alizawati Abdul Rahim
7) Pantun Azam Baharu
Sayang gaharu tumbuh di paya
Merimbun redup akarnya merekah
Tahun baharu gemerlap cahaya
Semoga hidup bertambah berkah
Pohon meranti bersilang kuini
Terbang helang menongkah jurang
Tahun berganti azam dimurni
Semangat tak hilang terus berjuang
Pergi memburu ke Tanjong Rhu
Berbekal rambutan tak lupa jering
Tahun baharu azam pun baharu
Niat dan tindakan biarlah seiring
- Guru SUTAMA, Cikgu Siti Norain Abdul Hamid
8) Sinar Keazaman
Cikgu,
aksara keramat itu
menjiwai hati sebati
seorang aku bernama guru
pada pundak tergalas
pada bahu terpikul
niat terpateri kukuh
junjung teratas sekali
azam terpahat rapi
membara dan menyubur
lembaran masa berlalu usia.
Bunga-bunga bangsaku
yang layu sebelum mekar
berkali-kali jatuh
hanyut lalai keduniaan
lemas gelombang badai
hilang punca hilang arah
iman nipis kian terhakis
dimensi masa terjangkau
terpisah aku dan kamu
jurang pradigma kian melebar
stigma menghambat
kita bukan lagi seirama
lagumu tidak semerdu laguku
langkahmu tidak seiring lagi.
Hatiku merindu
pada wajah-wajah mulus
mata-mata harapan
penuh impian
pada taatnya ajaran
tercurah ilmu tanpa ragu
terasuh laku tingginya budi
nilai insan sejati
cerminan wajah zaman
kerana merekalah cermin diriku.
- Guru SUTAMA, Cikgu Napsiah Aswan