Cikgu Mahesparan meninggal dunia di Hospital Selayang pada Isnin. Foto: Facebook Media Rasmi SMK Kota Kemuning
Cikgu Mahesparan meninggal dunia di Hospital Selayang pada Isnin. Foto: Facebook Media Rasmi SMK Kota Kemuning

'Kehilangannya amat dirasai' - Warga sekolah tangisi pemergian Cikgu Mahesparan

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
04 Dec 2024 05:00pm

"Mendiang sangat komited terhadap kerja dan seorang pendidik yang berjiwa besar. Hingga ke saat akhir, beliau masih lagi mengingati semua murid. Sudah tentu, kehilangan ini amat dirasai oleh seluruh warga sekolah."

Demikian catatan Facebook Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor pada Isnin.

Hantaran pilu itu dimuat naik susulan pemergian salah seorang guru mereka, Cikgu Mahesparan Kolakan yang meninggal dunia di Hospital Selayang.

Warga SMK Kota Kemuning gagal menahan sedih dengan kematian mendiang. Bagi mereka, Cikgu Mahesparan bukan sahaja mendidik dan menyampaikan ilmu tetapi beliau juga menjadi pembimbing, inspirasi dan sumber kekuatan kepada pelajar serta rakan sejawat.

Kehilangan ini pasti meninggalkan kesan mendalam, namun jasa dan pengorbanan mendiang akan terus dikenang sampai bila-bila.

Foto: Facebook Media Rasmi SMK Kota Kemuning
Foto: Facebook Media Rasmi SMK Kota Kemuning

Di ruangan komen, ramai berkongsi keperibadian yang dimiliki oleh mendiang Cikgu Mahesparan.

"Kami bekas guru SMK Kota Kemuning turut berdukacita dan bersedih atas pemergian sahabat yang kami hormati. Sepanjang berkhidmat bersama mendiang, banyak kenangan manis terpahat bersamanya. Seorang guru yang amat mesra, peramah dan sangat disenangi oleh semua orang. Semoga ahli keluarga tabah dan seluruh warga sekolah pasti sangat merasai kehilanganmu," tutur Azila Muhamed.

"Salam takziah buat keluarga mendiang En Mahes. Masih terbayang senyumannya. Seorang guru yang sangat komited dengan kerja dan baik orangnya," tulis Laman Rasmi SMK(P) Bukit Kuda.

Foto: Facebook Media Rasmi SMK Kota Kemuning
Foto: Facebook Media Rasmi SMK Kota Kemuning

"Cikgu Sejarah yang sangat bersungguh ketika mengajar," catat Muhamad Aiman.

"Sangat-sangat terkejut apabila mendapat khabar tentang kematian ini. Mendiang, guru yang sentiasa tertib dalam menutur bicara. Sering tersenyum dan sangat baik hati. Salam takziah buat keluarga mendiang Cikgu Mahesh," kata Aana Rohana Rahman.

"Seorang sahabat yang baik hati," maklum JD Bita DM.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp