Murah rezeki Ustaz Abah, rangkul empat APC sepanjang bergelar guru.
Murah rezeki Ustaz Abah, rangkul empat APC sepanjang bergelar guru.

Kejutan Ustaz Abah! 15 tahun berkhidmat, berjaya genggam 4 kali Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
07 Jun 2023 05:37pm

Sepanjang belasan tahun bergelar pendidik, banyak kenangan indah yang telah mengisi ruang hati Cikgu Mohammad Noor Azlan Idris.

Selain disukai semua guru dan pelajar, ada seperkara lagi yang begitu sukar untuk dilupakan oleh Cikgu Mohammad Noor yang merupakan Guru Cemerlang Perpustakaan dan Media (GPM) serta Guru Pendidikan Islam, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Abu Bakar, Baling, Kedah.

Katanya kepada Sinar Bestari, momen manis yang dimaksudkan ialah apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak empat kali sepanjang bergelar guru.

Cikgu Mohammad Noor yang lebih dikenali sebagai Ustaz Abah berkata, APC bukanlah anugerah yang mudah untuk dimiliki melainkan individu itu mempunyai pelbagai keistimewaan dan kelebihan ketika bergelar pendidik.

“Jika ditanya saya bagaimana mampu mendapat empat APC, jujurnya saya tiada jawapan dan sebarang rahsia.

“Cuma apa yang saya lakukan adalah mengekalkan momentum semangat dan terus berusaha untuk memperbaiki diri serta membantu orang lain yang lebih memerlukan.

“Bagi saya, semua guru di negara ini telah melakukan yang terbaik dalam kerjaya mereka. Mungkin masa dan peluang sahaja yang belum ada untuk masing-masing mendapat pengiktirafan,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Antara anugerah yang diraih Ustaz Abah (kanan) sempena Sambutan Hari Guru baru-baru ini.
Antara anugerah yang diraih Ustaz Abah (kanan) sempena Sambutan Hari Guru baru-baru ini.

Berkongsi serba sedikit mengenai APC, Ustaz Abah berkata, empat anugerah berkenaan diraihnya ketika dia berkhidmat di beberapa buah sekolah di negara ini.

“Dua APC saya dapat pada 2009 dan 2013 ketika mengajar di SMK Kudat, Sabah.

“Manakala APC ketiga pada 2016 di Sekolah Model Khas Baling, Kedah dan APC keempat di SMK Syed Abu Bakar,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai dua APC yang diterimanya ketika mengajar di SMK Kudat, Ustaz Abah berkata, pengiktirafan tersebut benar-benar mengejutkan.

Beliau tidak pasti apakah kriteria yang dinilai pihak pentadbir tetapi bapa kepada tujuh orang cahaya mata ini yakin usaha dan penambahbaikan yang dilakukannya terhadap sekolah menjadi penilaian.

“Sebagai contoh, usaha menaik taraf Pusat Sumber Sekolah (PSS) yang dulunya dipandang sepi sehingga memperoleh lima bintang dan sekali gus mendapat anugerah Pusat Sumber Cemerlang Negeri Sabah adalah detik indah yang tidak akan dilupakan.

“Selain itu, kejayaan membawa seorang Tokoh Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) dari daerah pedalaman di Kudat ke peringkat kebangsaan juga menarik perhatian pentadbir untuk dinilai.

No Image Caption

“Dalam masa sama, saya turut menghasilkan inovasi Scholar Garden dan Projek Kau Buang Kami Kutip. Selepas itu, saya usaha bangunkan PSS secara drastik berdasarkan pengalaman yang ada hingga tersenarai sebagai finalis Anugerah Pusat Sumber Sekolah peringkat negeri Kedah,” jelasnya.

Sambungnya lagi, APC kali ketiga di Sekolah Model Khas Baling juga mungkin dinilai menerusi pembaharuan yang dilakukan olehnya.

“Saya menghasilkan dua inovasi iaitu Pembelajaran Sirah Melalui Terowong Masa dan inovasi Kad Kupon NILAM (KADKU).

“Inovasi Pembelajaran Sirah Melalui Terowong Masa telah meningkatkan minat pelajar terhadap PSS dan mata pelajaran Pendidikan Islam.

“Hasilnya 59 daripada 63 calon mendapat A dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) (ketika itu) berbanding hanya empat pelajar sebelum itu.

“Manakala inovasi KADKU pula berjaya melahirkan Tokoh Nilam sekolah hingga menjadi johan peringkat negeri Kedah,” ujarnya.

Ditanya penganugerahan APC di SMK Syed Abu Bakar pula, Ustaz Abah berkata, usaha keras yang dilakukannya di sekolah itu cukup bermakna.

“Saya buat bukan kerana APC, tapi ia dilakukan demi warga sekolah. Apa-apa pun, saya bersyukur dengan pemberian ini,” ujarnya yang membangunkan PSS ke arah konsep Islamik, menghasilkan inovasi Akademi Hafizul Al Quran (ALHAQ) iaitu satu-satunya program tahfiz di Pusat Sumber di Malaysia, menghasilkan inovasi ReMIND Mobile, studio Green Screen Pendidikan Islam pertama di negeri Kedah dan banyak lagi.

No Image Caption

Peranan warga sekolah

Sementara itu, Ustaz Abah berkata, peranan warga sekolah sangat penting dalam penganugerahan seseorang guru.

“Kita diibaratkan seperti satu jasad yang saling memerlukan antara satu sama lain.

“Sokongan pihak pengurusan dan pentadbir, rakan setugas, seluruh staf sekolah termasuk keselamatan dan pembersihan, para ibu bapa serta seluruh pelajar amat diperlukan dalam membangunkan sesebuah sekolah.

“Guru tidak akan mampu bergerak seorang diri tanpa sokongan daripada semua pihak. Saya bersyukur kerana dikurnikan pihak pentadbiran serta rakan setugas serta seluruh warga sekolah yang saling membantu antara satu sama lain tanpa ada perasaan dengki dan iri hati malahan saling memberikan sokongan dan semangat,” ujarnya.

Akhir sekali, Ustaz Abah menitipkan sedikit nasihat kepada semua guru-guru di luar sana yang mungkin mengimpikan APC sebelum berakhirnya kerjaya sebagai pendidik.

“Sebenarnya sebagai guru kita tidak mengimpikan penghargaan daripada sesiapa tetapi dari segi psikologinya, penghargaan akan memberikan impak yang sangat baik terhadap penerimanya.

“Saya sendiri tidak pernah mengejar APC tetapi apabila memperoleh sesuatu penghargaan pastilah kita menghargainya malahan akan mencuba untuk memberikan yang terbaik selepas ini.

“Apa-apa pun kita semua perlu ingat, kita bekerja kerana ALLAH dan tanggungjawab. Apa yang dapat dan tidak jangan terlalu persoalkan.

“Kepada cikgu-cikgu, sabar dan yakin dengan susunan yang telah diaturkan. Marilah berikan yang terbaik selagi kita bergelar pendidik,” akhirinya.

No Image Caption

PROFIL

Nama: Mohammad Noor Azlan Idris

Asal: Kg Becah Sawa, Mukim Siong, Baling, Kedah

Tahap Pendidikan:

Sekolah Kebangsaan Siong, Kedah

Sekolah Menengah Agama Yayasan Al Khairiah, Kupang, Kedah

Pusat Bahasa Arab Nilam Puri, Kelantan

Diploma Pendidikan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau, Sabah

Ijazah Sarjana Muda Usuluddin Universiti Al Azhar (Hadis)

Master of Education (Islamic Specialization), Universiti Utara Malaysia (UUM)

Penglibatan:

Jurulatih Utama Mimbar Daie Kebangsaan

Jurulatih Utama Pendidikan Islam Negeri Kedah

Ketua Hakim Mimbar Daie Negeri Kedah

Penulis Skrip Pendidikan ASTRO

Panelis SPM NTV7 Didik TV

TikTokers Pendidikan & YouTuber Pendidikan

Ketua Hakim Pemilihan Tokoh Nilam Daerah

Jurulatih Nilam Kebangsaan

Fasilitator GPM Baling/ Fasilitator GPM Kudat

Fasilitator GPM Kedah

Hakim NILAM Negeri Kedah

Jurulatih NILAM Negeri Kedah

Anugerah dan pencapaian:

Edufluencer KPM

Guru Inspirasi (AGI) McDonald's 2022

Anugerah Daie Millinea KPM

Top 150 Cikgu Juara Digital

APC 2009, 2013, 2015 dan 2020

Anugerah Guru Inovatif Sekolah Menengah Daerah Baling 2021 (Inovasi Akademi Hafizul AL Quran PSS)

Finalis Guru Inovatif Peringkat Negeri Kedah 2021

Anugerah Senarai 3 Teratas Ikon Guru Teknologi Pendidikan 2021

Anugerah Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) Terbaik Daerah Baling 2020

Senarai 3 Teratas Ikon GPM Negeri Kedah 2020

Anugerah IFLA 3.0 Johor Bharu 2019

Anugerah Guru Inovatif PPD Baling / Sik 2016 (Inovasi Terowong Masa PSS)

Johan PSS Cemerlang Negeri Sabah 2013

Johan PSS Kudat 2010, 2011, 2012 dan 2013

Johan Pidato Guru MTQ Negeri Sabah

Anugerah iQ-PSS 5 Bintang 2013 dan 2014

Nama isteri: Masitoh Zakaria

Nama anak:

1) Irfan Amzar

2) Irdeena Sofeya

3) Iqramiey Amzar

4) Ieysha Sofeya

5) Ieynas Sofeya

6) Ieylmi Sofeya

7) Ieymani Sofeya

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp