Inilah senarai 10 Finalis Teratas Malaysia Teacher Prize 2024 yang hebat dan cemerlang dalam bidang masing-masing.
Inilah senarai 10 Finalis Teratas Malaysia Teacher Prize 2024 yang hebat dan cemerlang dalam bidang masing-masing.

Kenali 10 Finalis Teratas Malaysia Teacher Prize 2024! ‘Luar biasa sumbangan mereka’

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
03 Oct 2024 08:29pm
A
A
A

Malaysia Teacher Prize (MTP) mengumumkan10 guru Finalis Teratas MTP 2024 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam usaha mendidik anak-anak muda di negara ini.

Anugerah yang dianjurkan oleh PEMIMPIN GSL dengan sokongan YTL Foundation dan Ecmlibra Foundation merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia bertujuan mengiktiraf guru-guru pada peringkat kebangsaan dan menyediakan sebuah platform untuk menyebar luas amalan terbaik mereka.

Majlis Anugerah Malaysia Teacher Prize 2024 yang bakal berlangsung 19 Oktober di Asia School of Business, Kuala Lumpur, pastinya akan menjadi detik istimewa buat 10 guru finalis sekali gus akan dikenang sepanjang hayat.

Kepada yang ingin mengenali mereka dengan lebih dekat, jom Sinar Bestari bawakan nama-nama guru hebat untuk perkongsian bersama.

1) Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara, Kedah, Cikgu Mohd Nizam Saidin sentiasa cakna terhadap murid dan guru di bawah seliaannya agar mereka sentiasa mendapat sokongan diperlukan.

Beliau telah memberikan pendedahan kepada anak-anak muridnya terhadap budaya dan tetamu asing serta mengupayakan guru-guru dalam penggunaan teknologi pendidikan demi menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

No Image Caption

2) Guru Bahasa Melayu dan Sejarah, Sekolah Menengah Perempuan Cina Persendirian, Pulau Pinang, Cikgu Lim Chin Chin telah menyemai minat pelajarnya dalam pembelajaran melalui kolaborasi bersama komuniti dan penerapan unsur budaya.

Usahanya telah mendatangkan impak yang besar dalam kalangan pelajar bukan sahaja daripada pencapaian akademik tetapi juga bagi mendalami identiti mereka sebagai anak Malaysia.

3) Guru Matematik serta Reka Bentuk dan Teknologi, SK Raja Bahar, Kelantan, Cikgu Saifulnizan Che Ismail sentiasa berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalamannya yang tidak terhad kepada sempadan kelas sahaja.

Dengan strategi inovatif, Cikgu Saifulnizan menerapkan unsur kreativiti dalam kelas dengan menggunakan aktiviti interaktif dan projek yang berkaitan dengan konteks kehidupan harian serta Matlamat Pembangunan Mampan.

Dalam masa sama, beliau juga sentiasa bekerjasama dengan pihak luar untuk membangunkan sekolah.

4) Guru Pendidikan Seni Visual, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah 2, Kelantan, Cikgu Nik Anita Nik Ahmad sentiasa prihatin terhadap pendidikan para pelajar tidak kira di sekolah atau di studio rumah sendiri.

Dengan dorongan beliau, anak-anak didiknya terus aktif terlibat dalam program seni visual sehingga ke peringkat antarabangsa.

Selain itu, beliau sentiasa memberi sokongan kepada guru Pendidikan Seni Visual yang lain sebagai Ketua Jurulatih Utama Pendidikan Seni Visual di Kelantan demi memartabatkan mata pelajaran tersebut.

No Image Caption

5) Guru Pendidikan Khas, SK Bingkor, Sabah, Dr Velerie Wheelervon Primus berpegang kepada prinsip ‘Miracles Do Happen’.

Dengan mengambil inspirasi daripada pendidikan anak sendiri, Dr Velerie menggunakan pelbagai jenis kaedah inovatif bagi mewujudkan persekitaran kondusif untuk PdP demi keberhasilan murid dalam aspek literasi, komunikasi dan tingkah laku.

Beliau juga giat menjalankan bengkel bersama ibu bapa dan kajian dalam bidang Pendidikan Khas.

6) Guru Sains Rumah Tangga (SRT), SMK Badrul Alam Shah, Terengganu, Cikgu Shahira Said percaya bahawa subjek SRT memainkan peranan penting untuk melatih kemahiran praktikal dalam kalangan pelajar yang dapat diaplikasikan pada kehidupan seharian malahan juga sebagai punca pendapatan mereka.

Beliau juga telah berusaha memastikan pelajar-pelajar dapat mengasah kemahiran diri dalam penganjuran acara rasmi yang diadakan di peringkat sekolah, daerah dan negeri.

No Image Caption

7) Guru Besar SK RPS Dala (K9), Perak, Cikgu Mohamad Nazri Ishak merupakan pemimpin sekolah yang sentiasa memastikan kebajikan murid dan guru dipelihara serta mewujudkan ruang untuk komuniti setempat melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak mereka.

Beliau juga telah mewujudkan pelan yang berfasa dan kontekstual kepada situasi di dalam lapangan sebuah Sekolah Murid Orang Asli yang telah pun meningkatkan keberhasilan murid.

Melalui usahanya, beliau tekad untuk memastikan setiap murid dan sekolah mampu mencapai kecemerlangan.

8) Guru Pendidikan Seni Visual, SK Felda Mempaga 02, Pahang, Cikgu Mohd Huzaire Ahmad berdedikasi terhadap pengajaran seni dan muzik di sekolah.

Beliau juga sering mengambil berat tentang situasi anak murid di luar bilik darjah.

Sebagai contoh, Cikgu Mohd Huzaire pernah menjalankan program Cari Duit Poket untuk membantu murid yang memerlukan bantuan dan membentuk disiplin dari segi adab serta akhlak mereka.

Di samping itu, beliau juga merupakan Pengerusi Persatuan Guru orang kurang upaya (OKU) Malaysia di mana dirinya sering memberi sokongan kepada rakan guru OKU yang lain untuk meneruskan perjuangan sebagai warga pendidik.

No Image Caption

9) Guru Pemulihan Bahasa Melayu dan Matematik, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Fletcher, Selangor, Cikgu Kalaichelvi Jayamohan akan memastikan semua murid di bawah jagaannya tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Beliau telah mencipta rancangan yang jelas untuk memastikan murid-murid dalam kelas pemulihan mencapai kejayaan setara dengan murid lain di arus perdana.

Guru ini juga sering menjalankan kerjasama dengan pihak ibu bapa dan agensi luar untuk memastikan keperluan asas dipenuhi supaya mereka dapat menumpukan usaha dalam pembelajaran.

10) Guru Muzik, SK Senawang, Seremban, Negeri Sembilan, Cikgu Kamarul Shahril telah membawakan penggunaan alat muzik rekorder ke suatu tahap yang lebih tinggi.

Beliau menggabungkan lagu-lagu popular dan klasik dalam kelas muzik dan akhirnya berjaya menarik minat murid dan menjadikan pendidikan Muzik lebih inklusif terutamanya kepada murid dari keluarga B40.

Pendekatan kreatif ini telah menghasilkan hampir 700 murid yang mahir bermain rekorder.

Program muzik sekolahnya juga menjadi viral di media sosial, mencetuskan minat yang meluas dalam bidang muzik.

Beliau juga telah menubuhkan pasukan ukulele dan orkestra mini yang menggabungkan alat muzik tradisional seperti angklung dan caklempong.

No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok