Kredit foto: Pexels
Kredit foto: Pexels

Keracunan makanan? Lakukan perkara ini untuk merawat

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAINFIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
29 Mar 2023 01:01pm

Masalah keracunan makanan merujuk kepada keadaaan seseorang itu jatuh sakit atau mengalami demam yang teruk selepas memakan makanan yang telah dicemari dengan toksin yang terhasil daripada bakteria, virus atau parasit.

Kes keracunan makanan tidak boleh dipandang remeh kerana jika dibiarkan berlarutan ia boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan dan seterusnya mampu mendatangkan ancaman kepada nyawa.

Selain itu, ia turut mengganggu urusan kehidupan seharian manusia sama ada golongan pekerja mahupun pelajar.

Tanda-tanda keracunan makanan berbeza bagi setiap individu serta bergantung kepada puncanya.

Simptomnya akan mula kelihatan dalam tempoh 24 jam atau beberapa hari selepas seseorang itu mengambil makanan yang telah tercemar.

Untuk sesetengah kes, masalah tersebut selalunya dikategorikan sebagai kes ringan serta tidak memerlukan rawatan lanjut.

Namun begitu bagi sesetengah individu, mereka perlu mendapatkan rawatan yang lebih khusus di hospital jika keadaan menjadi serius misalnya kehilangan banyak air akibat kerap muntah serta cirit-birit sepanjang hari.

Berikut adalah simptom-simptom keracunan makanan yang biasa dialami

Artikel Berkaitan:

i) Loya

ii) Muntah

iii) Demam

iv) Cirit-birit

v) Kesakitan pada bahagian perut

vi) Sakit kepala

Hari ini Sinar Bestari ingin kongsikan kepada pembaca cara merawat keracunan makanan daripada Pakar Kesihatan, Dr Ahmad Wazir Aiman.

Jom baca!

Menurut Ahmad Wazir, terdapat dua kaedah untuk merawat kesakitan berpunca daripada keracunan makanan iaitu makanan yang perlu diambil dan makanan yang perlu dielakkan.

i. Makanan yang perlu diambil

Jika anda mengalami keracunan makanan, matlamat utama makanan yang diambil haruslah mudah untuk dihadam dan membantu proses pemulihan sistem gastrousus anda.

Antara makanan yang sesuai untuk diambil adalah pisang, bubur nasi dan roti bakar.

Tiga jenis makanan ini dikatakan dapat membantu proses pemulihan kerana rasanya yang tidak begitu kuat serta mempunyai kandungan kanji yang tinggi.

Ciri-ciri tersebut secara tidak langsung boleh membantu mengurangkan masalah cirit-birit.

Makanan yang tinggi kandungan kalium seperti pisang juga membantu menggantikan sel elektrolit yang hilang.

ii. makanan yang perlu dielakkan

Tambah Ahmad Wazir, kesan keracunan makanan kepada seseorang itu juga boleh menyebabkan kerengsaan pada usus serta perut.

Oleh itu, anda digalakkan untuk tidak mengambil makanan yang boleh menyebabkan kesakitan pada perut.

Antara makanan yang perlu anda elak adalah seperti produk tenusu seperti keju, aiskrim dan yogurt di mana makanan-makanan ini boleh menyebabkan ketidakselesaan pada perut.

Makanan dengan kandungan lemak yang tinggi pula seperti ayam goreng, kentang goreng atau sebarang makanan yang mengandungi kandungan lemak yang tinggi tidak bagus kerana ia boleh memburukkan lagi masalah cirit-birit yang dialami.

Makanan pedas pula sudah pasti bukan pilihan yang baik untuk perut yang sedang sakit. Sekiranya anda memakan makanan seperti ini, masalah sakit perut yang dialami akan semakin serius.

Rawatan doktor

Jika keadaan tidak berubah atau menjadi semakin teruk, anda perlu mendapatkan rawatan dan pemeriksaan perubatan daripada doktor dengan segera.

Dapatkan rawatan daripada pakar dengan segera jika anda mengalami simptom seperti

- Mulut terasa kering dan mengalami kehausan melampau

- Tidak kencing atau air kencing berwarna pekat

- Denyutan jantung yang laju

- Tekanan darah rendah

- Berasa lemah badan

- Pening kepala terutamanya apabila bangun tidur

- Penglihatan kabur

- Demam panas

- Muntah secara berterusan

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp