“Ok, saya akan rotan. Nak rotan dekat mana? Tapak tangan atau tempat lain,”
“Ok, saya akan rotan. Nak rotan dekat mana? Tapak tangan atau tempat lain,”

Kerana merokok, pengetua rotan pelajar depan rakan-rakan untuk pengajaran

ROSHLAWATY MD RAIEH
17 May 2023 11:38am
A
A
A

Sempena Hari Guru yang disambut pada 16 Mei, seorang guru yang dikenali Cikgu Rabeah Manshor menghubungi Sinar Bestari bagi berkongsi momen yang sukar dilupakan sepanjang bergelar pendidik.

Katanya, kisah itu berlaku tujuh tahun lalu namun ia masih segar di ingatan hingga sekarang.

“Kisah seorang pengetua yang merotan pelajar Tingkatan Satu di dalam kelas hingga mengundang tanda tanya pelajar-pelajar lain.

“Sehinggakan saya sendiri jadi sedih apabila melihat pelajar tersebut dirotan,” katanya menerusi kiriman WhatsApp kepada Sinar Bestari.

Cikgu Rabeah yang kini bertugas di sebuah sekolah di Terengganu berkata, seorang guru tidak mungkin akan menghukum para pelajarnya dengan sesuka hati.

“Guru hanya menghukum jika mereka ada melakukan kesalahan dan hukuman rotan serta seumpamanya dilihat sebagai sangat bersesuaian dengan bentuk kesalahan yang dilakukan.

“Tujuan hukuman ini hanyalah satu iaitu mahu melihat anak-anak didiknya menjadi manusia yang berguna kelak,” ujar Cikgu Rabeah.

Cikgu Rabeah
Cikgu Rabeah

Artikel Berkaitan:

Bagi mengetahui dengan lebih mendalam kenangan indah yang tidak dapat dilupakan guru tersebut, jom Sinar Bestari bawakan cerita ‘Rotan Murid’ khas untuk bacaan pengikut portal pendidikan ini.

Semoga kisah berkenaan dapat memberi manfaat kepada semua, insya-ALLAH.

*****

Rotan murid

Usai habis kelas tengah hari, aku terus menuju ke pejabat untuk menyelesaikan beberapa urusan.

Tidak sempat kaki melangkah masuk, tiba-tiba tuan pengetua muncul di depan aku.

“Haa, Rabeah. Awak nak ke mana? Mari ikut saya pergi rotan budak.

“Hah? Rotan budak? Tapi kenapa cikgu?,” tanya aku pada pengetua sambil kaki melangkah menuruti langkah beliau di hadapan.

Beberapa minit kemudian, aku dan pengetua sampai di sebuah kelas Tingkatan Satu yang terletak di hujung bangunan.

Tuan Pengetua melangkah masuk ke kelas tersebut dan mula memanggil seorang pelajar yang aku rasa bukan murid kategori yang bermasalah.

"Awak tahu tak apa salah awak?"

Pelajar itu diam.

“Ok, saya akan rotan. Nak rotan dekat mana? Tapak tangan atau tempat lain,” kata pengetua itu kepada pelajar berkenaan.

Zappp...zappp...zappp!

Keadaan menjadi tegang buat seketika dan aku cuba mengawal perasaan sendiri.

Rasa begitu sedih dan hiba melihat pelajar itu dirotan didepan mata aku apatah lagi disaksikan semua rakan-rakan sekelasnya.

"Okey tak?" tanya tuan pengetua kepada pelajar tadi.

Angguk. Tanpa sepatah kata.

“Mari sini,” panggil pengetua sambil merangkul rapat pelajar tadi dalam dakapan.

Sayup-sayup terdengar suara tangisan dari mereka berdua dan buat seketika, aku lihat keadaan tegang sebentar tadi tiba-tiba menjadi sayu.

Allahuakhbar!

Aku cuba mengawal perasaan sendiri. Persoalan demi persoalan bermain difikiran saat menyaksikan situasi yang aku sendiri tidak tahu apa punca dan akibatnya.

Namun, melihat betapa harmoninya momen itu telah membuatkan hati menjadi hiba.

Hukuman itu bukan lagi sebuah hukuman. Mungkin hukuman itu menjadi satu 'hadiah' paling berharga kepada pelajar tersebut.

Pelajar yang mungkin selama ini amat rindukan pelukan dan dakapan erat seorang ayah.

Selesai suasana sayu itu, pengetua mula melangkah menuju ke pejabat.

Beliau memandang aku dan seterusnya mula bercerita.

“Budak itu merokok dalam tandas dan begitu terkejut bila lihat saya ada di tandas tersebut.

“Saya beritahu dia akan dirotan sebagai hukuman dan dia mengangguk,” kata tuan pengetua.

Hasil perkongsian pengetua, barulah aku faham tentang isi ceritanya. Rupa-rupanya beliau merotan kerana bersebab.

Walaupun sudah tujuh tahun berlalu, namun aku yakin pelajar berkenaan pasti mengingati momen itu sampai bila-bila kerana ia bukan sekadar menghukum tetapi ia mendidik pelajar untuk menjadi manusia berguna kelak.

Bagaimanalah nasib pelajar itu sekarang? Aku teringin untuk bertemu dengannya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok