Khairul Aming pemenang Anugerah TikTok 2023, titip pesan buat pelajar sekolah untuk habiskan pembelajaran
Masih terasa kemeriahan sambutan majlis TikTok Awards yang menyaksikan beberapa pencipta kandungan (content creator) di aplikasi itu bersaing merebut gelaran People’s Choice: Creator Of The Year 2023.
Bagai menepati ramalan, anugerah itu dinobatkan kepada Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman.
Dia dalam ucapan kemenangannya berkata, kejayaan yang dikecapi tidak mudah malah ia memerlukan masa yang panjang untuk menghasilkan kandungan kreatif.
Bukan itu sahaja, Khairul Aming yang terkenal dengan kandungan masakan di aplikasi TikTok sempat menitip pesan buat semua remaja yang masih bersekolah dan menyimpan niat untuk menjadi seorang content creator.
“Saya ingin ambil kesempatan ini untuk semua anak muda dan adik-adik yang masih bersekolah di luar sana teruskan belajar walaupun ingin menjadi seorang content creator.
“Awak semua kena ingat dan tahu untuk menjadi seorang content creator ini tidak hanya memfokuskan tentang kandungan yang tular semata-mata.
“Ini kerana untuk kekal relevan dalam industri memerlukan pengetahuan yang banyak, pemikiran kritikal (critical thinking), penyelesaian masalah (problem solving) dan adab (common sense),” katanya sebaik diumumkan pemenang Anugerah People’s Choice: Creator Of The Year di TikTok Awards di Mitec, Kuala Lumpur, pada Ahad.
Tambah Khairul Aming, para pelajar perlu menghabiskan pembelajaran sekiranya ingin menjadi pelapis content creator yang berkualiti di samping mampu memajukan negara satu hari nanti.
Pada 23 Ogos lalu, Khairul Aming telah menerima 1.3 juta undian sekali gus mendahului finalis bagi kategori People's Choice: Creator Of The Year.
Acara itu merupakan anugerah terbesar anjuran platform media sosial TikTok dan pertama kai dianjurkan di Malaysia untuk memberi pengiktirafan kepada pencipta kandungan luar biasa yang merangkumi pelbagai latar belakang dan bidang.