Ustazah Zainun gembira apabila anak muridnya, Putri Alyaa berjaya dijejaki hasil bantuan warga maya.
Ustazah Zainun gembira apabila anak muridnya, Putri Alyaa berjaya dijejaki hasil bantuan warga maya.

Kisah bekas karipap: Putri Alyaa kini dalam persiapan hadapi STPM

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
19 Sep 2024 04:56pm

Kisah seorang guru yang cuba menjejaki bekas muridnya setelah terputus hubungan sejak lapan tahun lalu, mendapat perhatian warga maya.

Berbekalkan kuasa tular laman sosial, dalam masa dua hari sahaja guru dikenali Ustazah Zainun Zahari itu berjaya menjejaki Putri Alyaa, walaupun hanya nota usang dan bekas yang dahulu diisi dengan karipap sebagai panduan.

Menurut Ustazah Zainun, beberapa individu cuba membantu sejak hantaran dimuat naik di Facebooknya mula ditularkan.

“Saya ada menerima mesej daripada salah seorang ibu kepada kawan Putri Alyaa dan berikan maklumat tentang Putri untuk saya sahkan.

“Walaupun masih samar disebabkan saya tidak memiliki maklumat lengkap Putri Alyaa, saya rasa itulah orangnya. Sebaik sahaja lihat gambar yang dikongsi, saya tahu itulah Putri Alyaa yang saya cari-cari,” katanya.

Kata Ustazah Zainun lagi, anak kecil yang pernah diajarnya dahulu kini sudah mencecah usia 18 tahun.

Akuinya, beliau sudah berhubung dengan keluarga bekas muridnya itu dan sedang menunggu masa sesuai untuk bertemu empat mata.

Artikel Berkaitan:

"Saya sudahpun berhubung dengan Putri Alyaa, namun sayangnya peluang bertemu mata belum tiba atas kekangan tertentu dipihak saya.

"Untuk mengesahkan lagi, kami berhubung menerusi panggilan video. Manalah tahukan penat-penat menangis, rupanya salah orang. Alhamdulillah betul dialah orang yang saya cari-cari. Subhanallah, hampir rasa mustahil untuk menemui (Putri Alyaa) semula.

"Ia di luar jangkauan. Hantaran saya tentang pencarian Putri Alyaa diviralkan sebegitu rupa oleh orang ramai yang prihatin dan bersemangat membantu bahkan dimuat naik semula di platform media sosial lain juga.

"Terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan atas doa, dorongan dan ucapan semua pihak.

"Saya baca satu persatu komen dan perkongsian anda semua. Saya mohon maaf tak dapat kongsi sebarang gambar buat masa sekarang disebabkan kami belum sempat bertemu.

"Pada tahun ini, Putri Alyaa akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Doakan semoga Puteri Alyaa beroleh kecemerlangan dalam peperiksaannya nanti," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp