Kredit foto: 976photo/123rf
Kredit foto: 976photo/123rf

Matematik bukan sekadar untuk lulus peperiksaan

02 Aug 2023 05:15pm
A
A
A

“Ambil kos apa?

“Matematik?

“Wow, mesti awak seorang yang bijak dalam subjek Matematik kan?”

Majoriti mengatakan jika seorang pelajar itu pandai dalam mata pelajaran Matematik ia bermaksud dia seorang yang genius, brilliant, hebat dan sebagainya.

Bagaimana pula jika pelajar berkenaan tidak meminati subjek itu?

Adakah mereka dilabelkan sebagai tidak bijak, tidak hebat atau bagaimana?

Hari ini, ramai dalam kalangan anak-anak tidak menyukai mata pelajaran Matematik.

Ada yang mengatakan mereka tidak faham apa yang diajar di dalam kelas malah ada yang mengakui sering mendapat markah corot sehingga menyebabkan terus tidak meminati mata pelajaran itu.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, terdapat pelajar mengaku mereka lebih banyak menghafal formula tanpa memahami ilmu Matematik yang dipelajari semata-mata untuk lulus dan memperoleh gred yang baik.

Kemudian, ada sesetengah pelajar menyukai Matematik namun tidak berupaya melihat dengan mendalam kebaikan yang bakal perolehi dan perkaitannya dengan kehidupan.

Mereka belajar bersungguh-sungguh hanya semata-mata untuk memperoleh gred yang baik dan tidak lebih daripada itu.

Jiwa dalam Matematik

Melakukan sesuatu perkara tanpa jiwa atau soul seperti kata ‘orang putih’ bagaikan tiada maknanya.

Berbeza dengan subjek Sains yang lain seperti Biologi, Kimia atau Fizik, setiap ujikaji yang dilakukan ke atas benda yang boleh dilihat dengan mata kasar memudahkan kita memahaminya dengan mendalam.

Bagaimanapun dalam Matematik, apabila pembuktian demi pembuktian dilakukan menyebabkan pelajar hanyut dengan simbol dan nombor.

Sebenarnya dalam Matematik kita boleh melihat lebih daripada sekadar nombor.

Topik Persamaan dalam Matematik misalnya mampu menerapkan nilai keseimbangan iaitu sama atau adil.

1+1=2 membawa maksud kiri mesti sama dengan kanan.

Keseimbangan dalam kehidupan amat perlu bagi menjamin keharmonian hidup. Konsep keseimbangan ini jika dihayati maka pelajar pasti berupaya menyelesaikan masalah dalam Matematik dengan berkesan.

Akhir sekali, Matematik sangat berkait rapat dengan kehidupan manusia.

Ia mengandungi nilai-nilai kebaikan sama ada nilai pada ilmunya sendiri mahupun nilai ketika proses mendapatkan ilmu tersebut.

Oleh itu Matematik bukan sekadar untuk lulus peperiksaan tetapi ia perlu dihayati kepentingan secara keseluruhannya.

Maklumat Penulis

Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor, Dr Norziah Othman

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok