‘Memoir Seorang Guru’ hayati peranan pendidik dalam masyarakat
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bersama Kumpulan Penggerak Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (KPIBKS) dan Pertubuhan Cakna Pendidikan Negeri Selangor telah menganjurkan tayangan amal filem Memoir Seorang Guru di Tanjung Golden Village (TGV) Central i-City Shah Alam, baru-baru ini.
Tayangan filem arahan Kyoll Hamzah itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara warga pendidik dan masyarakat setempat serta mengetengahkan peranan guru dalam bentuk audiovisual yang menarik.
Pengarah JPN Selangor, Dr Jafri Abu menyatakan sepatah dua kata dan penghargaan kepada semua yang sudi hadir untuk menjayakan tayangan amal tersebut.
“Saya merakamkan setinggi penghargaan kepada Kumpulan Penggerak PIBKS negeri Selangor yang telah menyambut baik program ini dengan kerjasama padu rakan strategik dalam mengumpul dana agar program ini dapat direalisasikan,” kata beliau.
Memoir Seorang Guru mengisahkan perjalanan seorang guru yang sudah bersara lakonan Rosyam Nor, mengenangi kesilapan dan perasaan serba salah beliau semasa bertugas di sekolah kawasan pedalaman 20 tahun dahulu.
Filem tersebut disambut baik oleh para hadirin program tersebut, dihiburkan dengan humor dan drama yang menyentuh hati penonton sepanjang masa tayangan.