Tangkap layar yang dimuat naik di laman Facebook.
Tangkap layar yang dimuat naik di laman Facebook.

Murid diarah seluk tangan dalam lubang tandas cari kunci hilang, undang kecaman warga maya

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
07 Aug 2024 11:07am

“Apakah wajar tindakan menyuruh murid menyeluk tangan ke dalam lubang tandas bagi mencari kunci tandas yang hilang?”

Itu antara persoalan ketidakpuasan hati yang dilontarkan oleh warga maya setelah membaca hantaran dimuat naik oleh ibu bapa di satu laman Facebook.

Menurut hantaran itu, anaknya merupakan salah seorang daripada empat murid yang dipanggil bagi mencari kunci tandas yang dilaporkan hilang.

“Assalamualaikum saya hendak bertanya, harap ada yang boleh beri panduan. Isunya adalah kunci tandas murid sekolah hilang dan difahamkan terjatuh ke lubang tandas.

“Situasinya apabila murid hendak ke tandas perlu daftar nama di pejabat dan mengambil kunci tandas. Anak saya antara empat nama yang dipanggil kerana mereka ini ke tandas dalam jangka waktu kunci hilang.

“Tindakan yang dikenakan oleh guru hal ehwal murid adalah anak saya dan murid-murid itu diarah mengorek lubang tandas bagi mencari kunci tersebut, tangan di balut plastik sampah yang kecil dan mengorek lubang tandas yang bertaik,” tulisnya.

Hantaran itu juga telah dimuat semula oleh bekas guru Mohd Fadli Salleh yang telah mendapat 401 komen warga maya dimana rata-ratanya meluahkan rasa tidak puas hati atas tindakan tidak bermoral dikenakan kepada murid terbabit.

Antara komen yang sempat dipetik adalah:

Artikel Berkaitan:

“Kenapa pergi tandas perlu daftar? Kenapa tandas dikunci?”

“Hendak mengajar atau mendidik bukan dengan cara macam begini. Itu sudah nampak sangat ‘critical thinking’ tidak ada. Ini lebih kepada melepaskan amarah dan tindakan yang dibuat mengikut perasaan dan drastik tanpa berfikir panjang.”

“Kenapa nak kunci tandas? Cikgu bagi ‘pass’ cukuplah. Hendak daftar dekat pejabat bagai. Cuba dengan rasa nak terberak atau terkencing tapi kena ke pejabat dulu, tulis nama, tunggu lagi ambil kunci.”

Sehingga kini masih tiada maklum balas daripada pihak sekolah yang terlibat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp