![Tangkap layar video murid perempuan menangis kerana dibuli rakan-rakan di sekolah.](https://www.sinarharian.com.my/sinarbestari/uploads/images/2023/06/22/2241055.png)
Murid sekolah menangis, sedih diejek miskin dan mempunyai adik cacat
Isu buli melibatkan pelajar sekolah boleh diibaratkan sebagai barah yang menular dalam perkembangan pendidikan anak-anak dan sedikit sebanyak menjejaskan kesihatan mental mereka.
Ia bukanlah satu isu baru malah boleh dikatakan setiap tahun semakin hangat diperkatakan di media sosial selain turut mendapat liputan media dari semasa ke semasa.
Jika dahulu perbuatan buli melibatkan fizikal seperti dipukul, ditumbuk dan sebagainya namun melihat kepada perubahan zaman ia lebih cenderung kepada perbuatan menghina atau mengejek kelemahan seseorang.
Walaupun perbuatan menghina dan mengejek ini tidak menonjolkan kesan luka yang ketara namun ia adalah satu tindakan yang boleh memberi kesan negatif kepada mental dan emosi individu tersebut.
Terkini, tular satu video di aplikasi TikTok yang memperlihatkan seorang kanak-kanak perempuan menangis setelah pulang dari sekolah dan mendakwa dia dibuli secara mental oleh rakan-rakan lain kerana miskin serta mempunyai adik cacat.
Menerusi klip video yang dipercayai dimuat naik oleh ibu kanak-kanak berkenaan, Yusrinayusoff98, memaparkan kanak-kanak tersebut menangis teresak-esak sambil menceritakan kejadian yang berlaku di sekolahnya itu.
“Hari ini kakak Haris balik sekolah menangis kerana kawan-kawan di sekolah mengejek dan menghina adik dia cacat, kaki terkulai, orang susah dan bodoh.
“Ya ALLAH, kecil-kecil lagi sudah tiada adab. Kasihannya,” tulisnya dalam ruangan kapsyen.
Bagaimanapun, menurut perkongsian terbaharu Yusrinayusoff98, perkara itu telah diadukan kepada pihak sekolah dan sedang menunggu tindakan selanjutnya.
Sinar Bestari sempat menjengah ke ruangan komen bagi mendapatkan pendapat dan pandangan warga maya tentang nasib yang menimpa kanak-kanak terbabit.
Rata-rata berpendapat, tindakan membuli dengan mengejek dan menghina adalah satu perbuatan yang boleh memberi kesan mendalam di samping mampu menjejaskan kesihatan mental pelajar.
Tidak kurang juga ada yang meninggalkan komen supaya ibu bapa menasihati anak-anak supaya lebih beradab.
Perkongsian tersebut tular sehingga memperoleh lebih 100,000 tontonan dan 3,204 tanda suka.