
Nasihat Sir Fathi...'Sampai kita tua pun, ilmu tetap penting'
Fathi Hussein atau lebih dikenali sebagai Sir Fathi bukanlah satu nama asing dalam dunia pendidikan.
Merupakan pendidik dan pempengaruh media sosial terkenal, Sir Fathi dikatakan berjaya membantu ramai pelajar memahami subjek Matematik Tambahan menerusi pendekatan unik dan interaktif ketika sesi pengajaran dalam talian.
Terbaharu, guru pusat tuisyen terkemuka MCPlus dinobatkan sebagai penerima Anugerah Digital Creator (Motivation & Education) Tergempak di Gempak Most Wanted Awards 2024 pada Ahad.
Kemenangan itu membuktikan bahawa sumbangan Sir Fathi dalam dunia pendidikan digital diiktiraf secara meluas terutama dalam menyampaikan ilmu dengan pendekatan inovatif dan interaktif.
Sementara itu, Sir Fathi yang berasal dari Cheras, Selangor berkata, perkongsian video mengenai teknik menguasai Matematik yang dilakukan selama ini, diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua pelajar.
"Saya berharap anak-anak didik tidak memandang rendah terhadap usaha mereka menimba ilmu.
"Tuntutlah ilmu demi masa depan yang gemilang,” katanya.
Dalam kesibukan mengajar, Sir Fathi juga aktif memberi motivasi kepada para pelajar di luar sana.
"Saya pernah terdengar yang ada sesetengah pelajar memaklumkan bahawa pendidikan itu tidak penting pada zaman sekarang.
"Salah pandangan itu. Sampai kita tua pun, ilmu tetap penting dan berguna," ujarnya seperti dipetik dalam portal tempatan.