Pandang rendah bidang pendidikan, pakar tegur sikap segelintir masyarakat

MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALEK
03 Aug 2023 05:22pm
A
A
A

Pentingnya pendidikan dalam kalangan masyarakat hari ini sesuatu yang tidak dapat dinafikan kerana ia berfungsi membantu seseorang untuk berfikir dan merancang masa hadapan dengan lebih tersusun.

Namun, sikap segelintir individu yang memandang ringan terhadap perkara tersebut dapat mendatangkan impak buruk kepada diri mereka sendiri.

Baru-baru ini, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad menegur tindakan sesetengah masyarakat yang meletakkan stigma negatif mengenai kepentingan aspek pendidikan dalam kalangan generasi muda.

“Ada yang berkata, kalau belajar tinggi pun belum tentu dapat kerja baik.

“Saya fikir cara tersebut salah dan jangan ajar anak-anak kita berfikiran begitu kerana kalau mereka belajar sehingga ke peringkat tinggi, cemerlang akademik, boleh berkomunikasi pelbagai bahasa dan mempunyai sikap positif, rezeki akan ada untuk mereka.

“Mungkin ada kalanya sedikit lambat, tapi insya-ALLAH akan tetap ada jika terus berusaha,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Anuar berkata demikian berikutan Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Julai 2022 yang mengesahkan 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak bersedia untuk meneruskan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, beberapa faktor lain merisaukan termasuklah 50 peratus calon SPM yang gagal dan hanya mendapat gred E untuk mata pelajaran Matematik serta hanya 19 peratus berminat untuk memasuki aliran sains di sekolah.

Dalam pada itu, Anuar mengulas, kehidupan seseorang yang tidak dilengkapi ilmu mencukupi hanya akan menyebabkan mereka dipandang rendah.

“Kalau belajar pun malas, keputusan peperiksaan pula rendah, lemah komunikasi pelbagai bahasa, selalu tunjuk sikap negatif dan perangai tidak senonoh, penampilan selekeh, jangan kata bakal majikan, keluarga sendiri pun ada masanya akan naik meluat tengok,” tambahnya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok