Perlu 'slow talk' dengan murid, baru mereka patuh arahan, kongsi guru muda
Pelbagai cabaran yang perlu dihadapi setiap guru dalam kelas apabila melibatkan kerenah murid istimewa.
Fenomena ini seringkali berlaku terutama pada pelajar yang mempunyai kesukaran dalam mengawal emosi atau berdepan dengan tekanan tertentu.
Bagaimanapun, cara seorang guru menangani situasi dalam kelas juga memainkan peranan penting untuk mengawal setiap perangai murid.
Tidak dinafikan pendekatan yang efisien terhadap warga pendidik seperti memberi arahan secara lembut bagi meredakan keadaan dan memberi ruang kepada murid menenangkan diri boleh digunakan.
Menerusi perkongsian guru muda, Nur Ayuni di aplikasi TikToknya menunjukkan dia memberikan arahan dan tugasan kepada pelajar dengan nada lembut.
“Dulu selalu guna ‘waktu rehat’ tapi selepas berbincang dengan guru lain dan ibu bapa, rupanya ‘slow talk’ akan buat dia (pelajar) rasa lebih baik dan selamat.
“Masih belajar jadi cikgu dan masih ingin sentiasa belajar untuk menjadi cikgu yang baik.
“Semoga kita semua (cikgu) sentiasa ikhlas dan cuba yang terbaik untuk anak murid,” katanya.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mengakui kaedah yang digunakan berkenaan boleh menambat hati kanak-kanak istimewa.
Menurut pengguna TikTok, Aida Hanafiah, apabila orang dewasa berlembut dan berbuat baik dengan mereka, ia membuatkan mereka sentiasa berasa selamat.
“Setuju, bila kita bersama mereka dan berlembut semasa bercakap sebenarnya membuatkan mereka lagi rasa selamat serta selesa.
“Teruskan memberi inspirasi kepada cikgu-cikgu lain,” katanya.