Mohammad Lasim mengembara ke luar negara dengan motosikal untuk mengenal lebih dekat budaya sesuatu komuniti.
Mohammad Lasim mengembara ke luar negara dengan motosikal untuk mengenal lebih dekat budaya sesuatu komuniti.

Pesara guru jelajah 7 negara dengan skuter. Misi selesai!

18 Sep 2023 11:58am

Seorang pesara guru membuktikan dengan semangat kental segalanya dapat direalisasikan termasuk menjelajah di tujuh buah negara sejauh 30,000 kilometer (km) dengan menunggang motosikal secara solo.

Ekspedisi menggunakan skuter Yamaha NMAX 155 itu mengambil masa hampir empat tahun untuk ditamatkan, bermula dari Kota Bharu, Kelantan pada Disember 2019 merentasi Thailand, Myanmar, India, Nepal, China dan Laos, sebelum kembali ke tanah air pada Jun lepas.

Berkongsi pengalamannya, Mohammad Lasim Deraman, 57 berkata, ekspedisi tersebut mengambil tempoh lama lantaran wabak Covid-19 yang melanda dunia, selain sebahagian laluan di pergunungan Himalaya terpaksa ditutup beberapa bulan akibat salji tebal.

Ujarnya, selepas tiga bulan menunggang dan sampai di Mumbai, India, beliau membuat keputusan untuk mengambil penerbangan pulang ke Malaysia dengan hasrat membawa isterinya mengikuti kembara itu namun Covid-19 melanda dunia menyebabkan ekspedisi tersebut terhenti seketika.

Mohammad Lasim membuktikan dengan semangat kental segalanya dapat direalisasikan termasuk menjelajah di tujuh negara sejauh 30,000 kilometer dengan menunggang motosikal secara solo. FOTO: BERNAMA
Mohammad Lasim membuktikan dengan semangat kental segalanya dapat direalisasikan termasuk menjelajah di tujuh negara sejauh 30,000 kilometer dengan menunggang motosikal secara solo. FOTO: BERNAMA

“Pada Mei 2022 apabila sempadan dibuka, saya kembali ke Mumbai untuk menyambung ekspedisi yang tertangguh.

“Namun, tidak sampai sebulan, sekali lagi saya terpaksa pulang ke Malaysia kerana laluan Zojila Pass, yang menghubungkan Ladakh dan Kashmir ditutup untuk semua kenderaan.

“Meskipun dua kali tertangguh, saya kuatkan semangat untuk bawa balik motosikal saya yang ditinggalkan di sana.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, sekitar April lalu, saya ambil tiket penerbangan ke New Delhi dan menyambung ekspedisi semula.

“Akhirnya, tiga hari sebelum menyambut Hari Raya Aidiladha lepas, saya selamat tiba di sempadan Rantau Panjang-Sungai Golok, Kelantan,” katanya kepada Bernama.

Tambahnya, pelbagai cabaran diharungi untuk menamatkan ekspedisi itu, antaranya kerosakan enjin skuter, laluan berbatu, berlumpur, sempit dan bercerun di utara pergunungan India dan Nepal, serta cuaca sejuk hingga negatif 20 darjah Celsius yang boleh menyebabkan risiko acute mountain sickness (AMS) atau akut gunung.

Mohammad Lasim yang juga bekas guru pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Kolombong, Kota Kinabalu, Sabah berkata, mengembara ke luar negara dengan motosikal memberikan peluang kepada dirinya untuk mengenal lebih dekat budaya sesuatu komuniti berbanding yang diceritakan di televisyen atau media sosial - BERNAMA.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp