Kepada guru baharu, mohon masuk kelas tepat pada masanya dan mengajarlah penuh kesungguhan. Gambar kecil: Cikgu Razali.
Kepada guru baharu, mohon masuk kelas tepat pada masanya dan mengajarlah penuh kesungguhan. Gambar kecil: Cikgu Razali.

Petua buat guru baharu lebih yakin di sekolah

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
15 Mar 2024 01:49pm

Persekolahan sesi 2024/2025 yang baharu saja membuka tirai pastinya menuntut komitmen efisien daripada para pendidik.

Berikutan itu, Sinar Bestari dedahkan beberapa tip yang dikongsi oleh guru Kolej Tingkatan Enam Forest Height, Seremban, Negeri Sembilan, Cikgu Razali Saaran kepada pendidik khasnya guru baharu agar lebih yakin melangkah pada hari pertama ini.

“Sebagai guru baharu, anda dinasihatkan supaya pandai membawa diri ketika berada di sekolah masing-masing.

“Jika berhadapan masalah, segera cari solusi bagi memastikan cikgu selesa dan gembira dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik,” kata Cikgu Razali.

Ujarnya, guru baharu di sesebuah sekolah yang dimaksudkan itu merangkumi cikgu baharu dan lama.

“Bila anda menjadi individu yang pertama kali mengajar di sekolah (walaupun ada sesetengahnya sudah bertahun-tahun menjadi pendidik), anda tetap menjadi orang baharu di sekolah tersebut.

“Justeru, kalian wajar mengamalkan sembilan petua di bawah agar karier sebagai pendidik berjalan lancar,” jelas beliau.

1) Hormati guru-guru di sekolah baharu

Artikel Berkaitan:

Maksud saya, jangan kita buat tidak tahu apabila bertemu mata. Paling tidak senyumlah dahulu. Jika ada sedikit kekuatan, bertanyakan khabar mereka.

Cikgu perlu faham, orang lama di tempat baharu tetap senior walaupun mungkin kita lebih lama berkhidmat dalam dunia pendidikan. Tidak rugi bermanis muka sebagai tanda kita orang yang ada budi bahasa. Jika mahu dihormati dan disenangi, perlu tahu menghormati orang lain.

2) Jangan tunjuk diri serba tahu

Bukan tidak boleh menunjukkan kemampuan diri, boleh cuma pastikan ia adalah cara yang tidak menyakitkan hati orang lama di sana.

3) Banyakkan bertanya

Sebagai orang baharu kena banyak bertanya supaya cepat belajar. Ingat, jika kita guru lama, budaya kerja di sana mungkin berbeza. Tunjukkan kita ada budi bahasa. Pasti akan disenangi orang.

4) Banyakkan mendengar

Mohon elakkan diri daripada terlibat dengan kumpulan tertentu. Hanya jadi pendengar sahaja dan jangan terlibat dengan politik organisasi yang wujud. Kita mungkin tidak tahu siapa sebenarnya betul. Sikap berdiam diri akan menyelamatkan diri daripada fitnah lain.

5) Jangan mengelak kerja

Mengelak kerja bukan sahaja mengundang rasa meluat di hati orang lain, malah boleh menyebabkan prestasi cikgu kurang baik.

6) Pastikan waktu datang dan balik kerja mengikut peraturan sekolah

Perkara ini juga turut dinilai dalam organisasi. Jangan kita tersenarai dalam golongan sering datang lewat tanpa sebab. Orang baharu perlu menunjukkan sikap baik di tempat baharu. Jika tidak, kita akan jadi bahan gosip di sana.

7) Masuk kelas tepat pada masanya dan mengajarlah penuh kesungguhan

Orang baharu jangan ambil remeh akan perkara ini. Banyak mata sedang memandang. Tunjukkan kita orang yang amanah dalam bekerja. Pelajar sedang menilai dan mereka pasti akan menyebut siapa kita di belakang nanti.

8) Sampaikan suara hati kita dengan berhati-hati

Orang baharu kadang-kadang diberi pelbagai kerja. Perkara ini mungkin tidak disedari oleh pihak pengurusan. Apa yang terbaik, jika diri rasa beban kerja terlalu banyak, bawalah kepada pengetahuan mereka. Sampaikan secara baik supaya mereka boleh memahami apa yang di maksudkan.

9) Elakkan berada dalam kumpulan dominan, sebaliknya bergaullah dengan semua orang

Inilah kesilapan yang sering kita buat sebagai orang baharu. Kumpulan dominan dalam organisasi belum tentu kumpulan baik. Mereka memang mencari pengaruh dan kita jangan terperangkap dalam permainan mereka. Jadilah orang neutral. Ke mana pergi diterima, disenangi dan disegani.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp