Poster Merdeka: Guru kongsi pandangan ‘kami bukannya designer, semuanya buat dan belajar sendiri’
Baru-baru ini, tular di media sosial sekeping poster memaparkan info ringkas mengenai pertandingan buku skrap bertemakan tokoh kemerdekaan di Malaysia.
Dalam poster berkenaan, turut diselitkan tarikh tutup penyertaan iaitu pada 6 September 2024, bagi mereka yang ingin mengikuti pertandingan itu.
Pada masa sama, kelihatan tiga tentera China di poster tersebut yang sememangnya tiada kena-mengena dengan Malaysia.
Poster yang dihasilkan guru dari sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang telah mendapat perhatian Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang.
Mereka (JPN Pulai Pinang) telah menjalankan siasatan dan menurut pengarahnya, Abdul Said Hussain, pihak jabatan memandang serius perkara itu dan kesal atas kecuaian guru yang menggunakan gambar templat daripada internet sebagai bahan promosi untuk pertandingan buku skrap.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pula berkata, kesilapan yang dilakukan cikgu terbabit dianggap amat serius, justeru tindakan tegas diambil melalui siasatan Unit Integriti dan tindakan tatatertib.
"Itu langkah paling tegas yang Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) laksanakan terhadap beliau (guru),” ujarnya.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook dikenali Abdul Muiez, tidak ketinggalan berkongsi pandangan mengenai isu tular tersebut.
Beliau yang merupakan seorang guru berkata, sumber penghasilan poster yang tertera gambar tentera China itu adalah daripada Postermywall.
Ujarnya, dia bukan ingin menyebelahi sesiapa cuma dia ingin berkongsi tentang ‘kerja buat’ seorang guru di sekolah.
“Banyak komen yang saya baca. Ada yang kata cikgu buat kerja last minutelah. Cikgu bodoh tak reti nilailah. Cikgu buat kerja cincailah. Macam-macam. Ya benar, cikgu tu mungkin salah sebab tak semak dulu. Itu saya akui.
Cuma satu perkara yang netizen kena tahu. Guru-guru ini bukannya designer. Tidak ada satu pun department di sekolah yang menjaga media sosial, tidak ada department yang jaga grafik design dan seangkatan dengannya.
"Kami ni, cikgu yang mungkin tak ada kepakaran langsung dalam design. Semuanya pandai-pandai sendiri. Perlahan-lahan kami belajar. Antara yang paling mudah ialah Canva dan Postermywall. Design dah siap. Hanya tukar ayat dan masuk logo saja.
"Kalau buat video, paling cikai pun CapCut. Itu saja yang mudah. Dalam satu sekolah, berapa orang sahaja yang mahir. Nak guna adobe, boleh dikira dalam satu sekolah berapa ramai yang tahu. Kalau ada seorang dua yang pandai, itu pun dah cukup ramai.
"Saya tidak mengatakan cikgu itu tak bersalah. Salah tetap salah. Tapi bila hentam cikgu tersebut macam tiada ampun, kutuk macam dosa masuk neraka terus, lebih teruk lagi bila dikaitkan dengan politik dan ideologi komunis, saya kira itu tidak patut.
Kami guru-guru ni cuba sehabis baik untuk buat apa yang kami termampu. Semuanya untuk anak-anak. Cuma, kadang-kadang terkhilaf.
"Ingat! Saya tak kata cikgu itu tak bersalah. JPN pun dah mula siasat. Cikgu pun sudah minta maaf atas kelalaiannya. Semoga perkara seperti ini tidak berlaku lagi.
***Nasihat juga untuk diri saya sebagai tukang buat poster tidak rasmi untuk Unit Bimbingan dan Kaunseling. Harapnya lepas ini lebih berhati-hati,” kata beliau yang telah memberi keizinan kepada Sinar Bestari untuk berkongsi pandangannya.