'Satu silap dia, muat naik video di media sosial' - Mohd Fadli
Heboh diperkatakan ramai tentang video tarian yang memaparkan guru lelaki sedang rancak menari dan menyanyi dalam sebuah kelas sambil mengajar.
Difahamkan, video tarian yang berlatarbelakangkan alunan lagu Alamak Raya Lagi nyanyian kumpulan De Fam itu, telah menarik perhatian ramai untuk menonton video sehingga habis.
Sehingga ke hari ini, video berdurasi kurang seminit mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif daripada netizen.
Ada yang menyokong tindakan guru lelaki itu dan tak kurang juga, yang mengecam tindak-tanduk pendidik tersebut ketika merakam aksi tariannya.
Sinar Bestari memetik sebahagian komen warganet mengenai isu yang tular kini.
“Saya suka apabila dia tulis lirik itu. Budak menyanyi sambil baca. Dan dia tak ulang-ulang pun. Habis sahaja rangkap akhir terus nampak yang dia akan proceed kepada pembelajaran. Dia cuma nak wujudkan persekitaran pembelajaran yang seronok,” kata Eily MdRozali.
“Pada saya beliau guru yang hebat, tak ramai dah guru macam ini sekarang. Guru tersebut tahu macam mana cara nak tarik minat pelajar untuk terus belajar dan fokus kepada apa yang cikgu ingin sampaikan. Saya suka cikgu macam ini dan pasti beliau ialah guru kesukaan ramai pelajar,” tulis Cikgu Zura.
“Saya okay kalau para cikgu gunakan pelbagai strategi untuk mengajar. Malah sangat gembira dengan kreativiti cikgu. Yang saya tak setuju, muat naik ke media sosial. Harapnya larangan terhadap rakaman, gambar dan live (siaran langsung) diingatkan lagi kepada penjawat awam. Kawasan sekolah ada undang-undang,” ujar Ruzaini Zamri.
“Murid-murid lebih suka dan sayang dengan cikgu-cikgu sebegini,” kata Salawati Omar.
“Alhamdulillah. Saya suka cikgu seperti ini. Kalau serius sangat memang tak masuk otak kalau belajar. Semoga dipermudahkan urusan cikgu,” catat Alya Absar.
“Setuju. Dia memang cikgu yang hebat. Cuma satu kesilapan dia, dia upload video tu. Pada semua, ambil ikhtibar. Nak enjoy, nak rakam kenangan indah, silakan. Simpan untuk diri sendiri. Tak perlu kongsi. Bila anda sedia berkongsi, maka anda bersedia untuk difitnah. Kita yang buka peluang pintu fitnah tu pada orang ramai. Bukan orang lain nak sangat pun hadir memfitnah kita,” jelas Abdul Razak Azizan.
“Jarang jumpa guru sebegini zaman sekarang. Lincah dan aktif. Aku pun suka kalau ada guru macam ini di sekolah,” tutur Nelly Lee Harisin.
Sementara itu, bekas guru, Mohd Fadli Mohamed Salleh turut meninggalkan pandangan peribadinya tentang video tersebut di akaun Facebook, pada Khamis.
Tulis Mohd Fadli, dalam video itu, tiada pun sekeping gambar murid yang kelihatan melainkan kedengaran suara dan gaya guru menari sambil menyanyi.
“Aku tonton video itu dan simpulkan, guru ini guru yang hebat, disukai murid dan kreatif.
“Pemakaian dia lengkap dan kemas. Set induksi menarik minat semua murid. Gaya dan penguasaan kelas hebat. Ini kalau ada pencerap masuk, markah tak kurang 90 peratus.
“Kalau aku ada anak belajar sekolah tersebut, aku nak anak aku belajar dengan cikgu ini. Sebab kelas dia enjoy sangat. Saya yakin semua murid sayang dan suka padanya,” catat Mohd Fadli yang merupakan seorang pempengaruh terkenal di Malaysia.
Cuma, kata Mohd Fadli, ada satu kesilapan yang dia (guru lelaki) itu telah lakukan.
“Dia muat naik video tersebut di media sosial. Maka berduyunlah kecaman dari mereka yang tidak memahami pedagogi pendidikan murid sekolah rendah.
“Pada aku, ini guru yang hebat dan bagus. Teruskan cikgu,” jelasnya lagi.