Cikgu Mohd Fadli bersama beberapa adik-beradiknya ketika menyertai pertandingan inovasi satu ketika dahulu.
Cikgu Mohd Fadli bersama beberapa adik-beradiknya ketika menyertai pertandingan inovasi satu ketika dahulu.

Siapa Cikgu Mohd Fadli?

ROSHLAWATY MD RAIEH
07 Feb 2024 01:30pm
A
A
A

Dua tahun lalu, Sinar Bestari pernah menemu bual dengan salah seorang kakak kepada Cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh iaitu guru yang tular kerana berita persaraan, pada Selasa.

Kakak beliau, Cikgu Dr Salbiah Mohammad Salleh berkata, adiknya (Cikgu Mohd Fadli) merupakan seorang yang kuat semangat dan kekal tenang dalam mengharungi apa jua ujian.

Malah, ibu saudara yang dipanggil Mok Su Ti turut memaklumkan yang anak saudaranya itu memiliki sifat sabar tinggi dalam menghadapi dugaan ALLAH.

“Cikgu Fadli macam arwah abah (Mohamed Salleh Hussain). Kalau benda tak betul dia akan bertegas.

“Memang nampak sangat yang perangainya serupa dengan arwah,” kata emak saudaranya seperti diceritakan Cikgu Salbiah kepada wartawan Sinar Bestari.

Menurut Cikgu Salbiah dalam temu bual yang lalu, kesemua adik-beradiknya seramai sembilan orang merupakan pendidik di negara ini.

“Menjadi guru itu tidak pernah menjadikan kita kaya, guru juga tidak akan mendapat layanan VIP namun menjadi guru itu membawa berkat hingga ke mati.

“Inilah kata-kata yang sering diberikan arwah abah kepada kami yang akan diingati sampai bila-bila,” ujarnya yang menggalas tugas Guru Cemerlang Pendidikan Islam, Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh, Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Memandangkan sembilan beradik itu anak kepada Mantan Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu, Kelantan, Sinar Bestari tertarik untuk berkongsi latar belakang salah seorang anak beliau iaitu Cikgu Mohd Fadli.

Cikgu Mohd Fadli yang mendapat gelaran ‘Cikgu Korea’ dilahirkan di Pasir Puteh, Kelantan pada 6 Julai 1983.

Guru yang berusia 41 tahun, merupakan anak kepada pasangan arwah Mohamed Salleh dan Khatijah Mohd.

Beliau anak keenam daripada sembilan beradik yang kesemuanya bergelar pendidik.

Mereka ialah Cikgu Norhana; Cikgu Norasma; Cikgu Mohd Ariff; Cikgu Solihah; Cikgu Dr Salbiah; Cikgu Mohd Fadli; Cikgu Nur Afifah; Cikgu Ahmad dan Cikgu Siti Faizah.

Latar belakang guru hebat ini bermula di Sekolah Kebangsaan (SK) Kamil (1), Pasir Puteh, Kelantan dan Kolej Islam Sultan Alam Shah hingga Tingkatan Lima.

Kemudian Cikgu Mohd Fadli mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam jurusan Undang-Undang.

Namun disebabkan minat menjadi guru, beliau menolak tawaran itu dan memilih ke Maktab Perguruan Islam Bangi, Selangor dalam opsyen Matematik hingga berjaya menggenggam Diploma Perguruan Malaysia.

Tamat pengajian, guru berpengaruh di negara ini dipostingkan ke SK Mambang, Pekan dan kemudiannya bertukar ke SK Taman Melawati (2), Kuala Lumpur (Sekolah Kluster Kecemerlangan) pada 2009 dan sekolah terakhirnya SK (1) Gombak, Selangor.

Selain menjadi pendidik, Cikgu Mohd Fadli juga aktif menulis. Ia dibuktikan apabila buku bertajuk Cikgu Kelas Sebelah dan Kisah Bilik Guru mendapat permintaan luar biasa dalam kalangan masyarakat.

Cikgu Mohd Fadli mendirikan rumah tangga pada 11 Jun 2009 dan kini beliau merupakan bapa kepada lima cahaya mata.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok