Tayang jawapan merepek murid ibarat buka pekung
Trend beberapa orang cikgu memuat naik video memaparkan kertas soalan peperiksaan yang dibiarkan kosong tanpa dijawab oleh murid atau tertera jawapan lucu dan merepek, mendapat perhatian pelbagai pihak.
Sesetengah pihak berpendapat situasi ini mengundang kebimbangan khususnya golongan guru dan ibu bapa terhadap perkembangan pendidikan anak-anak.
Malah ia memaparkan usaha mengajar para guru seakan-akan tidak dihargai dan terbukti melalui jawapan yang tidak menunjukkan kesungguhan murid dalam menuntut ilmu.
Ini kerana, setiap soalan dalam peperiksaan tidak kiralah semasa pertengahan penggal atau hujung tahun, adalah tidak lain dan tidak bukan bertujuan mencabar minda murid selain membantu perkembangan pembelajaran mereka.
Namun apabila situasi murid tidak menjawab soalan ujian atau lebih dahsyat lagi menulis jawapan mengarut telah mengundang rasa terluka di hati warga pendidik.
Akan tetapi, tindakan guru merekod video dan memuat naik di laman sosial pula bagaikan membuka pekung di dada kerana ia sedikit sebanyak menunjukkan kredibiliti seseorang guru dalam mendidik anak bangsa.
Jika para guru berpendapat dengan memuat naik video berkenaan adalah untuk menunjuk perasaan terhadap perubahan sistem pendidikan sehingga menjadikan murid hilang semangat untuk menduduki peperiksaan, ia satu perbuatan yang salah kerana menjadikan media sosial sebagai platform.
Bahkan kalau dilihat pada zaman dahulu isu ini seperti tidak mendapat perhatian kerana tiada media sosial untuk meluahkan perasaan manakala murid yang sebegini pasti akan diserap ke dalam kelas pemulihan.
Daripada terikut-ikut dengan trend video viral, alangkah baiknya jika para cikgu memberi perhatian penuh terhadap mana-mana murid yang tidak mampu menjawab soalan dan seterusnya meningkatkan kemampuan akademik mereka.
Walaupun perbuatan tidak menjawab soalan peperiksaan dan menghantar jawapan mengarut menunjukkan sikap sebenar sesetengah murid yang sudah mula hilang minat dalam mencapai kecemerlangan akademik, namun para guru harus menjadikannya sebagai satu cabaran dalam dunia pendidikan hari ini.
Tidak hanya itu, perubahan sistem pendidikan yang dilaksanakan oleh kerajaan seharusnya disokong sekiranya kita ingin mengikuti jejak langkah negara maju seperti Finland, Jepun dan lain-lain.
Pada pandangan penulis pula, guru-guru tidak seharusnya menjadikan media sosial sebagai tempat memaparkan situasi murid yang sudah hilang keinginan dalam menuntut ilmu.
Ini kerana, situasi ini memaparkan dua pandangan berbeza dan salah satunya adalah mempersoal nilai proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dilaksanakan oleh guru sendiri.
Apakah PdP yang dijalankan sepanjang tempoh beberapa bulan persekolahan tidak mampu menarik murid untuk menulis walaupun sedikit jawapan di dalam kertas peperiksaan? Atau sebenarnya soalan yang disediakan tidak terjangkau oleh pemikiran murid lebih-lebih lagi mereka yang baru sahaja memasuki alam persekolahan?
Walaupun begitu, penulis juga faham akan tindakan guru yang menjadikan media sosial sebagai medium maklumat untuk menunjukkan keadaan sebenar dunia pendidikan hari ini bagi memberi kesedaran kepada semua pihak bahawa ia bukanlah satu situasi yang boleh dipandang ringan.
Begitupun, dari sudut pandang lain pula, para guru perlu bertindak secara rasional dan menjadikan situasi genting ini sebagai satu cabaran yang perlu dipantau serta dibantu mengikut tahap keperluan setiap murid.
Ini untuk memastikan murid mengangkat martabat serta nilai sesebuah pendidikan dan mengambil serius terhadap penilaian yang dibuat menerusi peperiksaan.
Meskipun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan untuk mengekalkan pemansuhan peperiksaan terutamanya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), namun ia bukan alasan untuk tidak menumpukan secara penuh perhatian terhadap tahap pencapaian murid-murid di sekolah.
Jadikanlah situasi murid yang tidak menjawab soalan peperiksaan ini sebagai cabaran untuk membentuk satu alternatif baharu dalam dunia mendidik dan tidak menjadikan media sosial sebagai tempat luahan perasaan.
Hal ini kerana, ia sedikit sebanyak bakal mengundang persoalan mengenai kredibiliti seseorang guru itu sendiri.