Guru-guru sekolah agama akan menikmati kenaikan gred dari DG32 ke DG34 dengan mengambil kira tempoh lapan tahun untuk kenaikan itu. (Gambar hiasan)
Guru-guru sekolah agama akan menikmati kenaikan gred dari DG32 ke DG34 dengan mengambil kira tempoh lapan tahun untuk kenaikan itu. (Gambar hiasan)

TBBK buat guru sekolah agama di Johor tahun ini

16 May 2024 04:18pm
A
A
A

Kerajaan Negeri Johor akan melaksanakan kenaikan pangkat secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan (TBBK) bermula tahun ini kepada guru-guru sekolah agama gred DG29.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pelaksanaan TBBK akan membolehkan guru-guru sekolah agama menikmati kenaikan pangkat dalam tempoh yang lebih pendek.

"Jika dibandingkan sebelum ini, guru-guru sekolah agama ini mengambil masa 10 tahun untuk kenaikan pangkat dari DG29 ke DG32 dan tiada kenaikan pangkat dari DG32 ke DG34 serta penjawatan berkenaan terhenti di gred DG32.

"Dengan pelaksanaan skim yang ditimbalguna daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tempoh kenaikan pangkat akan jadi lebih pendek iaitu daripada 10 tahun kepada lapan tahun untuk kenaikan gred DG29 ke DG32 dan guru-guru sekolah agama akan menikmati kenaikan gred dari DG32 ke DG34 dengan mengambil kira tempoh lapan tahun untuk kenaikan tersebut," katanya sewaktu Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Johor pada Khamis.

Beliau menjawab soalan lisan Abd Mutalip Abd Rahim (BN-Layang-Layang) mengenai aduan berkaitan kekurangan guru Sekolah Agama Kerajaan Johor dan langkah-langkah mengatasi masalah tersebut.

Katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) telah meluluskan pelaksanaan TBBK di peringkat dasar dan kini dalam proses penelitian bagi pelaksanaannya.

"Dengan penambahbaikan skim kenaikan pangkat ini, ia akan menambah minat guru-guru untuk terus berkhidmat dan akhirnya mengurangkan masalah kekurangan guru di sekolah-sekolah agama," katanya.

Menurut Mohd Fared, sehingga 30 April tahun ini, seramai 2,878 penjawatan guru di Sekolah Agama Kerajaan Johor yang terdiri daripada 2,473 berstatus tetap dan 230 berstatus kontrak telah diisi daripada 3,151 waran penjawatan guru dan dibantu oleh 1,921 guru KAFA di 582 buah sekolah agama dengan kapasiti murid seramai 198,375 di seluruh negeri Johor.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagi guru KAFA, jumlah pengisian terkini adalah 1,921 daripada 2,000 waran penjawatan. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok