Dua beradik India idam gelaran pesilat negara
Terpesona melihat latihan silat berhampiran rumah, dua remaja India yang juga adik-beradik tertarik hati dan mula mempelajari ilmu persilatan Melayu sejak Jun tahun lalu.
Yashvini Nair Raja Kumaran, 17, dan Thilesh Nair, 9, dari Batu 6, Sri Damai Perdana kini antara pelatih di Perguruan Silat Gerak Langkacitra Kuantan sebelum meniti kejayaan dalam pelbagai kejohanan di Pahang.
Yashwini berkata, dia mula mempelajari seni bela diri itu selepas dipelawa adiknya yang juga murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Indera Mahkota.
"Latihan dekat dengan rumah dan saya teman adik berlatih. Daripada situ, saya mula tertarik untuk turut sama berlaith dengan pelatih lain.
"Kami bertuah kerana ibu, S Parameswari, 46, memberi lampu hijau dan sokongan penuh untuk menyertai silat," katanya pada Selasa.
Ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau itu, setakat ini dia telah menyertai pelbagai kejohanan dan muncul juara Kelas E, silat olahraga di Kejohanan Silat Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) Jemputan IPT dan Remaja Pahang 2024.
"Malah Thilesh juga muncul juara kategori F/G Pra Tunas Putra di Kejohanan Silat Tunas Harapan Pahang dan Jemputan Pesaka di Temerloh baru-baru ini," jelas anak kelima daripada tujuh beradik itu.
Yashvini berkata, sejak mempelajari silat, dia bersama adiknya menjadi lebih disiplin dan fokus selain berat badannya mula turun hingga 10 kilogram (kg) iaitu 56kg berbanding 66kg sebelum ini.
Menyimpan hasrat bergelar pesilat negara, Yashvini turut menghargai sokongan jurulatih, Nor Faizal Abdul Rahim yang mesra dengan panggilan ‘ayah’ serta jurulatih dan pelatih lain yang sudi berkongsi ilmu persilatan.
Ibunya, Parameswari tidak membantah anak-anaknya mempelajari seni bela diri tersebut kerana menyedari minat dua beradik itu.
"Janji ada minat, tidak guna halang. Semua satu bangsa Malaysia dan saya pun gembira dengan sokongan yang diberikan terhadap anak-anak saya," katanya yang kehilangan suami sejak tiga tahun lepas.
Sementara itu, salah seorang jurulatih, Rasmaira Farissa Hamdan, 25, mengakui walaupun terdapat sedikit masalah komunikasi, namun dia memuji komitmen yang diberikan oleh dua beradik tersebut sepanjang latihan.
Jelasnya, perguruan terbabit tidak mengenakan sebarang yuran dan kini memiliki 50 pelatih.
"Latihan diadakan setiap hari Khamis dan Jumaat selama dua jam bermula jam lima petang dan Sabtu pula sebanyak dua sesi dijalankan iaitu petang dan malam," tambahnya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Silat Negeri Pahang (Pesaka Pahang), Datuk Osman Nok menyifatkan kehadiran dua remaja India aadalah sesuatu yang positif bagi perkembangan seni bela diri itu dalam kalangan kaum bukan Melayu di negeri tersebut.
"Kita memang menggalakkan lebih ramai kaum bukan Melayu menyertai dan mempelajari seni bela diri ini," ujarnya.