Untitled design17 penyelidik gembleng tenaga kenal pasti simptom awal keciciran murid
Untitled design17 penyelidik gembleng tenaga kenal pasti simptom awal keciciran murid

17 penyelidik gembleng tenaga kenal pasti simptom awal keciciran murid

webadminwebadmin
11 May 2022 05:12pm

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menggembleng idea dan tenaga menerusi program Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPaS) bagi mengenal pasti punca keciciran murid terutamanya dalam kalangan murid yang berisiko cicir.

Program yang bersifat multidisiplin itu dijalankan oleh 17 penyelidik daripada Pusat Pengajian Pendidikan, Pusat Pengajian Teknologi Media dan Komunikasi serta Pusat Pengajian Pengkomputeran yang diketuai Profesor Kanan Psikologi Pendidikan di Pusat Pengajian Pendidikan UUM, Prof Dr Rosna Awang Hashim.

Menurut Rosna, program yang mendapat sokongan Kerajaan Negeri Kedah dan Yayasan Sime Darby itu bertujuan mengesan simptom awal keciciran murid serta akan mencadangkan kepada pihak yang berkaitan untuk intervensi berstrategik menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam menangani isu itu.

"Program ini telah dimulakan sejak Jun tahun lalu dan akan berjalan selama tiga tahun. Pasukan penyelidik telah mengadakan kunjungan ke sekolah-sekolah yang terlibat di tiga daerah di negeri ini dan menemu bual pihak yang terlibat secara langsung dalam mempengaruhi kehadiran murid ke sekolah.

"Mereka termasuk pihak pentadbiran sekolah, guru kelas, kaunselor, ibu bapa, wakil komuniti setempat, rakan-rakan dan murid-murid dalam usaha memahami dan menangani isu tersebut,” katanya.

Beliau berkata, fokus penyelidikan adalah ke atas pelajar sekolah menengah Tingkatan Tiga dan Empat terutama daripada latar belakang tertentu yang berisiko meninggalkan persekolahan sebelum sampai waktunya.

Rosna yang juga Pengerusi Kluster Pendidikan dan Pembangunan Insan, Akademi Profesor Malaysia berkata, selepas beberapa bulan program itu dilaksanakan, beberapa dapatan awal telah diperoleh yang dilihat sebagai mempengaruh keciciran murid.

Katanya, punca tersebut termasuk faktor dalaman seseorang murid serta faktor luaran yang merangkumi sokongan akademik dan emosi daripada ibu bapa atau keluarga, guru, sekolah serta rakan sebaya.

"Faktor dalaman murid itu melibatkan sikap, tingkah laku dan minatnya untuk pergi ke sekolah atau sama ada dia terlampau mementingkan keseronokan, bermain dengan gajet atau bekerja sambilan semasa pandemik sehingga melupakan persekolahan.

"Faktor luaran pula adalah seperti latar belakang keluarga terutama daripada golongan B40 yang ibu bapa bekerja tidak ikut masa sehingga tidak sempat memantau anak-anak sekali gus menyebabkan mereka tiada dorongan untuk ke sekolah,” katanya.

Selain itu, Rosna berkata, pihaknya mendapati ada murid yang melakukan kerja sampingan ketika pandemik seperti membantu ibu bapa berniaga di pasar malam atau mengusahakan sawah sehingga memberi kesan kepada persekolahan mereka.

"Mereka mengambil apa sahaja peluang untuk mencari duit, tetapi malangnya mereka gunakan duit untuk membeli barang kesukaan mereka seperti telefon pintar dan bermain permainan video hingga lewat pagi. Bermain permainan video adalah ketagihan abad ke-21,” katanya.

Rosna berkata, berdasarkan dapatan awal itu, keprihatinan ibu bapa dan penjaga, sokongan guru serta campur tangan wakil masyarakat dilihat amat penting untuk membantu seseorang murid yang berisiko cicir meneruskan persekolahan sehingga tamat dan sekurang-kurangnya dapat menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran teknikal dan vokasional. - BERNAMA

Artikel berkaitan

Penyelidik UM hasilkan ToothPoly, inovasi didik murid jaga kesihatan gigi

Kenali permainan tradisional yang popular satu ketika dahulu. Pelajar wajib tahu ini!

UTHM kenal pasti 25 tapak sejarah dan budaya, berpotensi sebagai aset warisan Batu Pahat


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp