27 pelajar UPM gabung idea dan tenaga teruskan program My Hope
27 pelajar UPM gabung idea dan tenaga teruskan program My Hope

27 pelajar UPM gabung idea dan tenaga teruskan program My Hope

Roshlawaty Md Raieh
26 Aug 2022 05:03pm
A
A
A

My Hope merupakan sebuah program komuniti yang diusahakan oleh pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) sejak awal tahun 2019 bagi membantu menyediakan ruang perniagaan untuk golongan asnaf dan memperindah Pantai Cempaka, Kuantan, Pahang.

Bagaimanapun, sejak kemunculan wabak Covid-19 sebelum ini, ia menyebabkan program komuniti tersebut tergendala hampir dua tahun.

Sebagai langkah untuk tidak menghentikan projek bermanfaat berkenaan, seramai 27 pelajar perubatan kursus Pembangunan Kesukarelawanan, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM tampil meneruskan usaha murni tersebut.

Hasil usaha bersungguh-sungguh para pelajar ini, maka berlangsunglah program My Hope 5.0 di Kampung Cempaka, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Pengarah programnya, Jegajeeva Ram Gabriel berkata, My Hope 5.0 adalah kesinambungan daripada My Hope 1.0, My Hope 2.0, My Hope 3.0 dan My Hope 4.0 yang diadakan sebelum ini.

Objektifnya masih sama iaitu mendekati golongan masyarakat yang ditenggelami arus pembangunan iaitu golongan nelayan pantai dan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Tambah Jegajeeva, My Hope 5.0 menyediakan pelbagai aktiviti menarik sepanjang program berlangsung.

Antara yang dilaksanakan adalah menyiapkan cafe dan wakaf, mengadakan sukan rakyat, sukaneka serta aktiviti barbeku (BBQ).

Turut diadakan juga acara penyerahan barangan keperluan hasil sumbangan Sahabat Masjid UPM dan orang ramai kepada keluarga asnaf dan Rumah Anak-Anak Yatim Permata Camar.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Dr Hizmawati Madzin, menyokong penganjuran My Hope 5.0 malah beliau juga turut turun padang memeriahkan majlis.

Kata Dr Hizmawati, My Hope 5.0 dapat melahirkan pelajar dengan kemahiran insaniah yang tinggi dan berani dalam mendepani cabaran akan datang.

“Kepada pelajar yang menyertai, saya sangat berharap agar anda dapat menjadi pelajar yang berdaya saing dan sentiasa berbakti kepada masyarakat kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Cempaka, Kamarisan Zahari memuji My Hope 5.0 kerana berjaya membangunkan kafe dan wakaf di kampung berkenaan.

Dengan terhasilnya kemudahan ini, ia dapat digunakan oleh penduduk kampung terutamanya golongan asnaf.

My Hope 1.0 hingga My Hope 5.0 dilihat sebagai program yang berjaya mencapai semua objektifnya.

Lebih RM150,000 jumlah keseluruhan program My Hope berjaya dikumpul hasil sumbangan pelbagai syarikat dan orang persendirian.

Ia bukan sahaja berbentuk wang tunai tetapi juga sumbangan dalam barangan keperluan.

Diharapkan semoga usaha ini akan diteruskan sampai bila-bila dan menjadi platform kepada pelajar UPM untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelawanan akan datang.

Artikel berkaitan 

Pasukan debat UPM bawa pulang gelaran juara dan pendebat terbaik. Apa rahsia mereka?

Graduan UTHM berjaya siapkan tesis di pusat hemodialisis demi menjaga suami sakit

Berjaya kumpul RM21,570 untuk projek khidmat masyarakat, usaha keras 7 pelajar master UKM dipuji ramai


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok