4 beradik kongsi pentas konvokesyen, rakam kenangan manis bersama
Empat adik-beradik melakar sejarah manis apabila berkongsi pentas selepas menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berlangsung di Pusat Kebudayaan UIAM Kampus Gombak, baru-baru ini.
Laili, 22; Yasmin, 24; Afif dan Arif Ahmad Khairuddin, 26, merupakan penerima ijazah dalam Sarjana Muda (Sastera) Bahasa Inggeris Untuk Komunikasi Antarabangsa dari Kulliyyah Pengurusan Dan Bahasa (KLM) UIAM.
Empat adik beradik itu adalah anak kepada Pakar Kardiologi di Institut Jantung Negara(IJN) Datuk Dr Ahmad Khairuddin dan Datin Rahila Hassan.
Afif dan Arif adalah pasangan kembar manakala Yasmin dan Laili adalah pasangan adik dan kakak.
Afif meluahkan kegembiraan kerana mereka semua dapat menghadiahkan bukan satu, malah empat ijazah sekali gus kepada ayah dan ibu.
"Kami berempat merasa amat gembira kerana ia adalah sesuatu perkara yang boleh dibanggakan apabila berjaya menamatkan pengajian dan berkonvo bersama,” jelasnya ketika ditemui di majlis tersebut.
Dalam pada itu, Yasmin berkata, tiada sebarang persaingan di antara adik-beradiknya sebaliknya suasana itu menjadi lebih seronok kerana dapat belajar secara berkumpulan dan bersama-sama sepanjang pengajian.
"Kami berempat sangat seronok sepanjang pengajian dan ia adalah satu pengalaman yang sukar diperolehi sekali gus membantu merapatkan lagi hubungan kami sebagai adik-beradik." ujarnya.
Penyerahan ijazah bagi sesi sidang ke-14 ini disampaikan oleh Rektor UIAM, Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.
Majlis Konvokesyen UIAM ke-36 menyaksikan seramai 5,916 graduan menerima ijazah masing-masing membabitkan peringkat doktor falsafah (PhD), sarjana dan sarjana muda.
Artikel berkaitan
Graduan UUM bawa gambar arwah bapa masa konvo
Karya asli 3 pelajar Sabah diterbitkan di majalah sastera terkemuka United Kingdom. Kagum!