4 pelajar bangunkan inovasi yang mampu mengurangkan kemalangan jalan raya
4 pelajar bangunkan inovasi yang mampu mengurangkan kemalangan jalan raya

4 pelajar bangunkan inovasi yang mampu mengurangkan kemalangan jalan raya

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
22 Oct 2022 09:03pm

Sekumpulan pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya membangunkan produk inovasi yang dikenali ‘Motorcycle Object Detection’ bagi mengurangkan kemalangan jalan raya dalam kalangan penunggang motosikal.

Mereka adalah Ahmad Irfan Harman, 22; Muhammad Qarl Farisz Mohd Rahimi, 23; Nurnajihah Hazirah Azhari, 21 dan Muhammad Daniel Rahim, 23.

Penghasilan produk ‘Motorcycle Object Detection’ ini telah mendapat bimbingan daripada dua Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) iaitu Dr Suhaila Mohd Najib dan Siti Nur Suhaila Mirin.

Menurut Suhaila, produk dibangunkan bagi mengesan kehadiran objek dari arah bertentangan yang memasuki ‘Region of Interest’ penunggang motosikal seterusnya memberi amaran kepada penunggang motosikal lain.

Dengan cara ini, ujar Suhaila, ia sekali gus dapat mengurangkan kemalangan jalan raya yang disebabkan faktor pelanggaran dengan objek statik yang berada di atas jalan raya.

Sementara itu, Ahmad Irfan berkata, produk ‘Motorcycle Object Detection’ dibina dengan mengaplikasikan teknologi pembelajaran mendalam (deep learning) bagi mengesan beberapa objek statik yang dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan faktor kemalangan penunggang motosikal.

“Pengesanan objek yang dilakukan oleh sistem kawalan utama akan mengaktifkan sistem amaran bunyi melalui fon telinga yang terdapat di dalam topi keledar dan juga lampu amaran yang dipasang pada hendal motosikal.

“Selain itu, aplikasi Android yang dikenali sebagai ‘Hermes’ juga telah dibangunkan bagi memudahkan penunggang motosikal mengawal kekuatan amaran bunyi dan juga kecerahan lampu amaran,” tuturnya.

Mengulas mengenai cabaran pembangunan inovasi ini, Ahmad Irfan mengakui yang cabaran itu memang ada terutama ketika melatih sistem supaya dapat mengesan objek yang dikenal pasti menyumbang kepada faktor kemalangan jalan raya oleh penunggang motosikal secara tepat dan jitu.

Malah getaran yang terhasil daripada gerakan motosikal sehingga menyebabkan gambar diambil kabur turut menjadi cabaran dalam meningkatkan pengesanan objek secara tepat.

Akhir sekali, Ahmad Irfan dan ahli kumpulannya sangat berharap inovasi itu mampu dijadikan sebagai produk yang mendapat tempat dalam mana-mana pertandingan inovasi dan diaplikasi dalam dunia sebenar.

Artikel berkaitan 

3 guru Sabah hasilkan projek ‘Dau-Dau’, gembira diumumkan finalis anugerah inovasi di United Kingdom

Kreatif bangunkan inovasi e-gamifikasi membolehkan Cyber Squad muncul juara MKBC’22

Penyelidik hasilkan brownies tanpa gula! Inovasi manisan daripada tumbuhan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp