2_04_upgrading_your_laptop_to_a_new_high_performance_ssd_and_ram
2_04_upgrading_your_laptop_to_a_new_high_performance_ssd_and_ram

Pastikan komputer riba pelajar tahan lama dengan 8 langkah mudah ini

Adlan Farhan Azwan
09 Mar 2022 04:32pm
A
A
A

Komputer riba sudah menjadi keperluan bagi setiap pelajar tidak kira di sekolah mahupun di institut pengajian tinggi (IPT). Pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia telah memaksa proses pendidikan dijalankan secara dalam talian.

Membeli komputer riba baharu bukan pilihan untuk semua orang kerana sebuah komputer riba baharu sangat mahal. Namun, jika pelajar sudah memiliki komputer riba, banyak perkara yang boleh dilakukan untuk memastikan peranti tersebut kekal bertahan untuk tempoh yang lama.

Seharusnya, komputer riba perlu dikendalikan dengan penuh kasih sayang dan perhatian. Sebarang tekanan, impak mengejut boleh menyebabkan kerosakan pada komponen dalaman dan luarannya yang akan memendekkan jangka hayatnya.

Kali ini, Sinar Bestari mengambil peluang ini untuk berkongsi dengan pelajar semua langkah-langkah mudah bagi memastikan komputer riba anda tahan untuk jangka hayat yang lama.

1. Bersihkan bilik atau ruang belajar

Bersihkan bilik untuk mengelakkan pengumpulan habuk yang terlalu banyak. Kredit foto: Unsplash.

Kebanyakan habuk terletak berhampiran katil anda dan di atas meja anda. Habuk ini boleh masuk ke dalam sistem penyejukan komputer riba anda yang boleh mengakibatkan peningkatan suhu peranti.

Komputer riba direka untuk berfungsi dalam julat suhu yang selamat. Kebiasaannya 50 hingga 95 darjah celcius. Suhu optimum untuk Unit Pemprosesan Pusat (CPU) tidak boleh melebihi 90 darjah celcius. Apabila peranti terlalu panas, ia boleh merosakkan komponen komputer riba anda.

Mempunyai persekitaran yang bersih dengan habuk yang sedikit di udara benar-benar membantu dalam mengelakkan komputer riba anda daripada terlalu panas.

2. Cabut pengecas jika bateri sudah penuh

Mencabut pengecas juga dapat menjimat elektrik. Kredit foto: Unsplash.

Menurut syarikat elektronik terkemuka, ASUS, disebabkan oleh sifat kimia ion Litium, kapasiti bateri berkurangan secara berkala dengan penggunaan dari semasa ke semasa.

Penting untuk pelajar fahami bahawa bateri mampu tamat tempoh walaupun tidak menggunakannya. Cara mudah untuk mengatasi masalah ini adalah dengan mencabut sistem pengecasan bateri sekiranya ia sudah penuh.

Namun perlu diingatkan, dengan teknologi yang semakin berkembang, banyak komputer riba terkini yang tidak mempunyai isu sebegini dan pelajar boleh menggunakannya tanpa menanggalkan pengecas bateri komputer riba.

3. Disarankan menggunakan tetikus

Tetikus tanpa wayar sangat sesuai apabila dipadankan dengan komputer riba. Kredit foto: Unsplash

Permukaan pad jejak atau pad sentuh boleh rosak apabila digunakan untuk tempoh yang lama tanpa penjagaan yang betul.

Penyelesaiannya adalah dengan menggunakan tetikus. Ia memberi kawalan penuh pada kursor serta keupayaan lain dalam sekelip mata.

4. Elakkan memasang antivirus yang tidak diiktiraf

Windows Defender akan memberi notifikasi sekiranya terdapat sebarang ancaman. Kredit foto: Unsplash.

Terdapat banyak perisian yang boleh menjejaskan komputer anda. Memasang antivirus adalah seperti mempunyai vaksin, ia bertugas untuk mengesan penceroboh dan serangan berniat jahat pada sistem anda dan akan segera mengambil tindakan.

Pelajar perlu berhati-hati apabila memasang sebarang antivirus kerana kebanyakan antivirus percuma yang sedia ada sebenarnya tidak berfungsi dan boleh mendatangkan virus yang sebenar kepada peranti anda.

Windows 10 sudah dilengkapi dengan Windows Defender, sebuah perisian yang sudah cukup memadai bagi pengguna tanpa perlu memasang sebarang perisian luar.

5. Gunakan pad penyejuk

Pad penyejuk disarankan buat pengguna komputer riba. Kredit foto: Unsplash.

Jika anda pernah cuba menggunakan komputer riba anda di atas katil, suhu komputer riba akan meningkat. Hal ini kerana, kebanyakan komputer riba mempunyai saluran udara di bahagian bawah peranti dan sebanrang habuk, sel kulit mati boleh menghalang pengudaraan.

Pad penyejuk telah terbukti dapat menurunkan suhu komputer riba secara drastik dengan membenarkan lebih banyak aliran udara ke bahagian bawah peranti dengan kipas yang ada pada pad penyejuk. Ini adalah salah satu cara yang menjimatkan kos untuk meningkatkan prestasi tanpa perlu membuka komputer riba dan berkemungkinan membatalkan jaminan.

6. Naik taraf komponen jika perlu

Komputer riba mempunyai keupayan menaik taraf komponen yang agak terhad. Kredit foto: TweakTown

Banyak aplikasi dan perisian baharu akan memerlukan sistem storan yang lebih besar dan lama-kelamaan ia boleh menjejaskan prestasi komputer riba tersebut.

Pelajar disarankan untuk menaik taraf komponen seperti storan atau memori capaian rawak (RAM) jika terdapat keperluan. Menaik taraf komponen yang ada dalam komputer riba boleh memastikan ia dapat digunakan untuk masa akan datang dengan perisian yang lebih berat.

7. Gunakan sistem storan awan

Google Drive adalah antara storan awan yang dipercayai oleh para pengguna. Kredit foto: Digital Trends

Menurut laman web teknologi terkini, Mashable, menggunakan lebih daripada 80 peratus cakera keras yang tersedia boleh menjadikan komputer riba semakin perlahan.

Sistem storan awan dapat membantu mengatasi masalah ini dengan menyimpan segala data secara dalam talian. Pelajar juga boleh mengakses data tersebut pada bila-bila masa tidak kira menggunakan peranti jenis apa.

8. Tukar “thermal paste” jika terlalu panas

Thermal paste berkhidmat sebagai agen penyejuk untuk komputer riba. Kredit foto: The Tech Wire

Segala habuk yang ada dalam komputer riba perlu dibersihkan. Selain itu, “thermal paste” juga perlu diganti baharu supaya ia dapat menyejukkan CPU untuk mengekalkan prestasi peranti yang baik.

Langkah ini agak sukar bagi sesiapa yang tidak mahir, tetapi pelajar boleh menghantar komputer riba ke kedai komputer berdekatan dan mendapatkan pandangan sama ada “thermal paste” perlu ditukar atau tidak.

Jika “thermal paste” sudah lama tidak ditukar, ia akan mengeras dan tidak lagi berfungsi untuk menyejukkan.

Sinar Bestari berharap perkongsian kali ini dapat membantu pelajar di luar sana dalam memastikan komputer riba dapat digunakan untuk jangka hayat yang lebih lama.

Artikel berkaitan 

Tip baiki komputer dan komputer riba ditenggelami air

Komputer riba dengan harga murah, pelajar jangan cepat terpedaya

UMT terima HPLC, tawar perkhidmatan uji ketulenan madu


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok