Perasmian Penutup ITECC oleh KP JPPKK secara atas talian
Perasmian Penutup ITECC oleh KP JPPKK secara atas talian

76 pembentang berkumpul sempena Persidangan TVET dan Keusahawanan Antarabangsa 2022

Roshlawaty Md Raieh
11 Oct 2022 03:54pm
A
A
A

Seramai 76 pembentang dari politeknik, kolej komuniti seluruh Malaysia dan Politeknik Negeri Medan, Indonesia, telah mengikuti Persidangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Keusahawanan Antarabangsa 2022 yang diadakan secara dalam talian, baru-baru ini.

Persidangan antarabangsa yang bertemakan ‘Memupuk Keusahawanan Tekno Dalam Institusi TVET ke Arah Kelestarian Global’ adalah anjuran bersama antara Politeknik Negeri Medan; Kementerian Pengajian Tinggi (KPT); Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta Politeknik Kota Bharu, Kelantan.

Objektif utama persidangan adalah untuk berkongsi maklumat penyelidikan yang telah dan sedang dijalankan; mendapat maklum balas keberkesanan penyelidikan yang dijalankan dan mengenal pasti keperluan penyelidikan pada masa akan datang.

Persidangan yang diadakan selama dua hari itu telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah JPPKK, Ts Zainab Ahmad.

Zainab ketika merasmikan majlis penutup Persidangan TVET dan Keusahawanan Antarabangsa 2022.

Dalam persidangan tersebut, sebanyak 86 kertas kerja telah dibentangkan yang meliputi pelbagai disiplin seperti kejuruteraan, e-pembelajaran, pengurusan dan perniagaan, keusahawanan, sains dan teknologi, teknologi maklumat, pendidikan vokasional serta sains sosial.

Dalam pada itu, Zainab berkata, usahawan tekno adalah mereka yang akan menyokong ekonomi melalui sumbangan kepada pertumbuhan industri kecil dan sederhana.

Sebahagian yang mengikuti Persidangan TVET dan Keusahawanan Antarabangsa 2022.

Ini kerana, ujarnya, usahawan tekno boleh membuka peluang pekerjaan dan memberi motivasi serta memimpin orang lain untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif demi kelestarian global.

Dalam hal ini, jelas Zainab, TVET adalah talian hayat untuk usahawan teknologi masa depan kerana ia penting untuk menyokong keberkesanan latihan berkaitan keusahawanan teknologi.

Sementara itu, menurut Pengarah Politeknik Kota Bharu, Rosli Idris, persidangan yang diadakan itu secara tidak langsung menggalakkan dan menyokong pembangunan konsep inovatif dalam bidang keusahawanan tekno.

Sepanjang persidangan berlangsung, kertas kerja Design and Build Prototype of Automatic Parking Lighting Lights dari Politeknik Medan dan Compressive Strenght Study of Concrete With Bacilius Subtilis Additives dari Politeknik Kota Bharu telah terpilih sebagai kertas kerja terbaik bagi kategori bidang kejuruteraan.

Manakala bagi bidang bukan kejuruteraan, kertas kerja Mengkaji Niat Pengguna Wanita Terhadap Penggunaan Produk Kosmetik Mesra Alam: Faktor Sikap Sebagai Mediasi Kajian dari Kolej Komuniti Bagan Serai dan The Mediating Role Of Affentive Commitment In The Relationship Between Motivation And Work Perfomance dari Politeknik Kota Bharu telah terpilih sebagai kertas kerja terbaik.

Artikel berkaitan 

Adziem bakal ke Switzerland, nekad harumkan nama negara dan politeknik menerusi WSC 2022 Special Edition

Peluang graduan politeknik ceburi kerjaya Tentera Darat

Cikgu Sydney sebagai wakil tunggal Malaysia ke persidangan antarabangsa GSC. Rezeki guru KV Keningau


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok