1657491678006
1657491678006

Ameera cemerlang di The University of Edinburgh, raih ijazah kelas pertama dan pingat pencapaian

Adlan Farhan AzwanAdlan Farhan Azwan
21 Sep 2022 03:47pm

Kejayaan pelajar-pelajar tempatan yang berjaya mengharumkan nama negara di universiti terkemuka dunia merupakan bukti kemampuan sistem pendidikan Malaysia dalam melahirkan pelajar berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Terkini, Siti Ameera Liana Ahmad Kamal, 24, menerima penganugerahan ljazah Kelas Pertama Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (EEE) (Kepujian) serta pingat pencapaian pelajar cemerlang Tahun Empat kursus EEE di The University of Edinburgh, Scotland.

Dia merupakan pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan pernah mengikuti pengajian A-Level di Kolej MARA Seremban, Negeri Sembilan.

Siti Ameera (tengah) bersama kedua ibu bapanya. Kredit foto: LinkedIn Ameera Ahmad Kamal

Siti Ameera memulakan perjalanan sebagai seorang pelajar di The University of Edinburgh dalam bidang EEE pada tahun 2018.

Menurutnya, kejayaan itu adalah susulan daripada penulisan tesis yang mengkaji penggunaan semula bateri kereta elektrik untuk aplikasi fotovoltan (PV) solar di luar grid dengan menggunakan Simulink pada MATLAB iaitu satu platform pengaturcaraan.

“Segala usaha saya membuahkan hasil apabila saya menerima gred kelas pertama untuk projek saya.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada penyelia saya, Dr Jonathan Shek atas bimbingan dan sokongan berterusan sepanjang tahun.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pemeriksa saya, Dr Paul Judge atas maklum balas dan idea yang membina serta memastikan saya sentiasa berada di landasan yang betul,” katanya menerusi hantaran di laman LinkedIn, baru-baru ini.

Pemakluman Siti Ameera sebagai penerima Ijazah Kelas Pertama.

Dalam pada itu, dia turut berkongsi kegembiraan tersebut dan merakamkan penghargaan kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaannya itu.

“Selama empat tahun saya berusaha dan akhirnya ia membuahkan hasil.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MARA atas peluang yang diberikan untuk belajar di luar negara serta membantu merealisasikan impian belajar di salah sebuah universiti terkemuka dunia.

“Tidak ketinggalan kedua ibu bapa saya, keluarga dan sahabat-sahabat yang tidak putus memberikan sokongan,” jelas Ameera.

Sambungnya lagi, mengikuti pengajian di Edinburgh adalah satu pengalaman yang luar biasa.

“Sejujurnya, tiada tempat lain seindah bandar ini tetapi setiap perjalanan pasti ada pengakhirannya.

“Beribu kenangan telah tercipta sejak saya mula datang ke sini pada 2018 dan setiap daripadanya akan saya ingat sampai bila-bila,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Hadiri konvokesyen berbaju Melayu, graduan Harvard bangga jadi anak Malaysia

Sering dihina dan dipandang rendah, Ammar kini bergelar graduan University of Manchester

Susherrie kebanggaan suku Semai, jadi anak Orang Asli Perak pertama terima ijazah kelas pertama di London


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp