Anugerah Naib Canselor Sesi Akademik 2021/2022 UKM milik John Sebastian
Anugerah Naib Canselor Sesi Akademik 2021/2022 UKM milik John Sebastian

Anugerah Naib Canselor Sesi Akademik 2021/2022 UKM milik John Sebastian

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
29 Nov 2022 04:17pm

Usaha keras yang dilakukan sepanjang empat tahun pengajian akhirnya berbaloi apabila John Sebastian Tunggolou, 24, diumumkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor Sesi Akademik 2021/2022 pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kali ke-50, baru-baru ini.

John Sebastian merupakan graduan Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian (Cemerlang) (Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua) UKM membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000, koleksi buku terbitan penerbit UKM dan sijil penghargaan.

Berkongsi dengan Sinar Bestari, dia berkata, pengiktirafan berkenaan begitu bermakna sekali dan ia pasti menjadi kenangan terindah buat dirinya sampai bila-bila.

John Sebastian.

Anugerah Naib Canselor UKM diberikan kepada seorang graduan terbaik di peringkat prasiswazah seluruh fakulti dan mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) sekurang-kurangnya 3.67 atau purata nilai markah kumulatif yang setara dengannya.

Selain itu, anugerah berkenaan juga diberikan kepada graduan yang mencapai tahap tinggi dalam pengukuran sikap dan amalan kesarjanaan serta beberapa lagi perkara lain.

Mengikut maklumat yang diterima Sinar Bestari, pemilihan John Sebastian sebagai penerima Anugerah Naib Canselor Sesi Akademik 2021/2022 UKM adalah berdasarkan enam perkara.

Perkara tersebut adalah pencapaian terbaik bidang akademik dalam kalangan mahasiswa; pendirian sikap kesarjanaan yang tinggi; pencapaian mutu kepimpinan yang tinggi; sumbangan terhadap kebajikan dan pembangunan masyarakat kampus, pencapaian cemerlang dalam bidang sukan serta sumbangan ke arah mengharumkan nama universiti.

Mengulas lanjut, John Sebastian yang kini bertugas sebagai Felo Perdana kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, kejayaan dicapai sepanjang beberapa tahun pengajian di UKM, bukanlah sesuatu yang mudah.

“Saya perlu berkorban banyak perkara jika mahu meraih kecemerlangan. Bagaimanapun, pengorbanan ini akhirnya membuahkan hasil.

“Terima kasih kepada keluarga, pensyarah dan rakan-rakan yang sentiasa mendoakan kejayaan saya,” ujar anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu.

Akhir sekali, John Sebastian menitipkan sedikit nasihat kepada adik-adik yang masih lagi berjuang dalam dunia pengajian di kampus masing-masing.

“Jangan mudah mengalah dengan perjuangan.

“Teruskan berusaha dan sentiasa berdoa kepada tuhan masing-masing.

“Bila tiba masanya, anda pasti akan berjaya,” ujar anak sulung daripada lima adik beradik tersebut.

John Sebastian bersama ahli keluarga terdekat yang turut meraikan kejayaan pada Majlis Konvokesyen UKM kali ke-50.

INFO

Antara pencapaian diraih John Sebastian Tunggolou

1) Dilantik sebagai Felo Perdana kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Julai hingga Disember 2022).

2) Ikon Warisan Budaya UKM 2022.

3) Presiden UKMbassadors.

4) Yang di-Pertua Angkatan Mahasiswa Antirasuah.

5) Anugerah Penyampai Terbaik dan Pemenang Persembahan dalam Kumpulan pada Youth Regional Affairs Dialogue 2022 di Nanyang Technological University, Singapore.

6) Johan Keseluruhan dan Anugerah Gubahan Muzik Terbaik pada Festival Tari Drama Filem 2019 di Universiti Malaysia Terengganu.

Artikel berkaitan 

Nur Asyiqin dinobat penerima Anugerah Naib Canselor UKM. Tak sangka ini rahsia yang dia kongsikan!

Anak bekas tukang kasut raih Anugerah Pelajaran Diraja

Gagal meneruskan pengajian ke luar negara, penerima Anugerah Pelajaran Diraja UMP kini berkhidmat di Jerman


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp