Pernah gagal ke luar negara, kini Nur Khairiyah Penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) bertugas di Jerman1
Pernah gagal ke luar negara, kini Nur Khairiyah Penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) bertugas di Jerman1

Gagal meneruskan pengajian ke luar negara, penerima Anugerah Pelajaran Diraja UMP kini berkhidmat di Jerman

Adlan Farhan Azwan
08 Nov 2022 01:09pm
A
A
A

Kegagalan menyambung pengajian di Jerman satu ketika dahulu tidak pernah menghalang Nur Khairiyah Hibatullah Md Rosley, 25, untuk kekal bersemangat dalam mengejar impiannya.

Dia yang merupakan graduan program kerjasama dwi-ijazah jurusan Kejuruteraan Mekatronik di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Karlsruhe University of Applied Sciences, Jerman (HKA) telah memperoleh gred 1.3* yang dianugerahkan oleh Hochschule Karlsruhe - University of Applied Sciences, Karlsruhe, Jerman dan mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.82 di UMP.

Keputusan ini telah melayakkannya sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) dalam Majlis Konvokesyen Ke-17 UMP yang disampaikan oleh Pro Canselor UMP, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor, baru-baru ini.

Nur Khairiyah memberi ucapan ketika Majlis Konvokesyen UMP Ke-17. Kredit foto: UMP

Menurut Nur Khairiyah, dia pada mulanya berasa sedih dan terkilan kerana tidak berjaya memperoleh biasiswa semasa menjalani program persiapan untuk melanjutkan pengajian ke luar negara.

“Saya berharap untuk mendapat biasiswa kerana jumlah kos yang perlu ditanggung untuk ke luar negara amatlah besar dan di luar kemampuan saya.

“Jadi, apabila tidak ditawarkan biasiswa, saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian di dalam negara memandangkan UMP ada menyediakan pelbagai program kerjasama dengan universiti luar.

“Alhamdulillah, setelah lebih empat tahun melanjutkan pengajian di UMP, akhirnya saya berpeluang ke Jerman bulan Mac tahun lalu untuk menghabiskan satu lagi semester dengan tajaan daripada pihak universiti dan Biasiswa Penuh Baden-Württemberg Stipendium,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari.

Nur Khairiyah bersama ahli keluarga yang turut menghadiri Majlis Konovkesyen UMP Ke-17. Kredit foto: UMP

Anak kelahiran Papar, Sabah ini ternyata seorang pelajar cemerlang apabila pernah menerima Anugerah Pelajar Terbaik Tahun Pertama (Anugerah Akademik Kecemerlangan) daripada PEKA 5 UMP pada 2018.

Anak bongsu kepada pasangan Md Rosley Mohd Lair, 58, dan Aliah Fatihah Abdullah, 58, ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Cheng Hwa Papar, Sabah dan seterusnya Sekolah Persendirian Papar Middle School Sabah dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Mohammad Fuad Stephens, Sandakan, Sabah.

Maka, tidak hairanlah Nur Khairiyah berkebolehan untuk menguasai pelbagai jenis bahasa antaranya Melayu, Inggeris, Cina, dan Jerman sama ada dari segi penulisan mahupun pertuturan.

Dalam pada itu, Nur Khairiyah memberitahu, pendekatan pembelajaran yang dititikberatkan di UMP memberi manfaat kepada para graduan menerusi program kerjasama dengan universiti-universiti lain di luar negara seperti Jerman, China, Indonesia dan banyak lagi.

“Tambahan pula, program kerjasama industri hingga ke peringkat global seperti VAC Hanau, Jerman berupaya membuka peluang kepada graduan untuk menjalani latihan amali dan mendapatkan pekerjaan di luar negara.

Nur Khairiyah (tiga dari kanan) bersama rakan sekerjanya di Vacuumschmelze GmbH & Co. KG.

“Peluang yang diberikan untuk melanjutkan pengajian di Jerman adalah kenangan manis yang sangat berharga kerana saya telah menimba banyak pengalaman menarik daripada pelbagai perspektif,” ujarnya.

Jelasnya, pengalaman berada di Jerman bertambah manis apabila dia berjaya menyiapkan tugasan projek tahun akhir selama lima bulan di syarikat ternama Vacuumschmelze GmbH & Co. KG, Jerman.

Kini, Nur Khairiyah mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya warganegara Malaysia yang bekerja di syarikat tersebut sebagai sebagai Jurutera Produk dan Proses dalam Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan.

Artikel berkaitan

Ameera cemerlang di The University of Edinburgh, raih ijazah kelas pertama dan pingat pencapaian

Malaysia - Jepun jalin kerjasama, kukuh bidang Sains, Teknologi dan Inovasi

Pelajar autisme, Nur Arif ingin jadi pensyarah kini pelajar PhD di UIAM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok