3-5
3-5

Nur Asyiqin dinobat penerima Anugerah Naib Canselor UKM. Tak sangka ini rahsia yang dia kongsikan!

webadmin
20 Jan 2022 04:13pm
A
A
A

“Amalan pengurusan masa yang cekap dan bijak adalah resepi kejayaan saya.” Demikian perkongsian penerima Anugerah Naib Canselor pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ke-49, Nur Asyiqin Zohkarnain baru-baru ini.

Katanya, pengurusan masa yang baik dapat memastikan perjalanan kehidupan seharian seimbang dan memupuk disiplin diri yang tinggi.

“Jika kita mempunyai pengurusan masa yang berkesan, banyak perkara yang mampu kita capai termasuklah melakukan aktiviti yang sihat untuk rohani dan jasmani.

“Ketika belajar secara dalam talian, saya mendapati agak susah untuk saya membahagikan masa kerana saya menggalas pelbagai tanggungjawab di rumah. Selain pelajar, saya juga memainkan peranan sebagai seorang anak yang harus membantu kedua ibu bapa membuat kerja rumah.

“Jadi, saya telah membuat jadual dan perancangan yang sistematik supaya semua tugasan dapat disempurnakan dengan teratur,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dengan Kepujian (Pengajian Arab dan Tamadun Islam), Fakulti Pengajian Islam (FPI) ini lagi.

Anak sulung dari empat adik beradik ini turut menekankan rasa hormat kepada ibu bapa dan pensyarah.

“Sehebat mana pun seseorang pelajar itu, kita perlu ingat bahawa ibu bapa dan pensyarah adalah individu yang perlu dihormati sepanjang masa kerana di situlah terdapatnya keberkatan dalam setiap perkara yang dilakukan,” ujar anak kelahiran Umbai, Melaka ini.

Sebelum ini, Nur Asyiqin memperoleh Anugerah Dekan selama enam semester berturut-turut dan turut menerima Anugerah Tokoh Akademik FPI.

Artikelnya yang bertajuk ‘Persepsi Sayyid Qutb terhadap paderi di Amerika Syarikat allati ra’aytuhu’ telah berjaya diterbitkan dalam jurnal terindeks ESCI-WoS iaitu Jurnal Islamiyyat tahun 2021.

Selain cemerlang dalam akademik, Nur Asyiqin turut aktif dalam sukan dan berjaya membantu pasukan menjadi Naib Johan Bola Tampar di Kejohanan Piala Dekan FPI pada 2020.

Kini, Nur Asyiqin sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Arab dan Tamadun Islam di FPI dengan tajaan Biasiswa Zakat UKM.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Thenesh Anbalagan, berjaya menerima Anugerah Tun Abdul Razak di atas kecemerlangan akademik yang konsisten.

Kejayaan yang dicapai oleh anak jati Muar, Johor ini adalah sebuah landasan penuh dengan liku, ranjau dan onak duri di mana pada 2015, bapanya meninggal dunia beberapa jam sebelum dia menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Setelah melihat kesusahan ibunya menguruskan dokumentasi mendiang ayahnya, Thenesh mula menanam minat untuk menyambung belajar dalam jurusan undang-undang.

Menurutnya, terdapat tiga perkara penting yang perlu ada dalam diri seseorang yang berkehendakkan kejayaan.

“Pertama, untuk mencapai kejayaan, perlu bekerja keras, dedikasi dan gigih. Apabila kita berusaha dan tidak mencapai seperti apa yang kita inginkan, jangan putus asa kerana pengalaman tersebut akan membuahkan sesuatu yang lebih baik pada masa hadapan.

“Kedua, kita boleh belajar daripada sesiapa sahaja. Justeru, selain membaca dan berbincang dengan pensyarah dan rakan sebaya, saya juga meluangkan masa bercakap dengan petugas kebersihan, kakitangan sokongan, pustakawan dan ahli fakulti lain.

“Ketiganya kita perlu menghargai peluang dalam kehidupan ini. Gred yang cemerlang menunjukkan betapa gigihnya usaha kita. Kehidupan, bagaimanapun, tidak hanya berkisar kepada gred dan pujian. Kehidupan adalah gabungan kenangan indah dan pengembaraan mencari pengalaman baharu,” katanya.

Thenesh juga telah mengharumkan nama UKM di persada antarabangsa apabila diumumkan sebagai pelajar UKM pertama yang mendapat anugerah Top 100 Best Individual Oralist of the Preliminary Rounds Award dengan menjadi mooter ke-49 terbaik di seluruh dunia semasa Philip C. Jessup International Law Moot Court Competition 2021.

Pada 2019, Thenesh berjaya bergelar ‘Tunku Scholar’ kerana telah menerima Biasiswa Tunku Abdul Rahman iaitu sebuah biasiswa berprestij oleh Yayasan Tunku Abdul Rahman.

Sumber: Portal UKM

Artikel berkaitan 

Nurin Nabihah impi bergelar atlet negara

Ratu Badminton, Goh Liu Ying miliki pakej sempurna hingga jadi idola ramai  

Pasukan debat UPM bawa pulang gelaran juara dan pendebat terbaik. Apa rahsia mereka?


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok