KODING-SINAR BESTARI-2023
KODING-SINAR BESTARI-2023

Bahasa koding melestari pendidikan dan perubatan

nadzarul.amir
09 Jan 2023 05:09pm
A
A
A

Pengekodan merupakan antara perkara penting dalam dunia digital hari ini termasuk bidang pendidikan.

Apabila ingin membangunkan sesuatu aplikasi, sistem koding adalah 'watak utama' untuk memastikan ia berjaya.

Kemajuan sistem koding banyak membantu dalam pembelajaran sekali gus memudahkan para murid dan pelajar untuk menimba ilmu mereka.

Mungkin ramai tidak mengetahui dalam bidang perubatan, sistem koding turut digunakan untuk proses menterjemahkan maklumat klinikal pesakit.

Para pesakit yang menerima rawatan di mana-mana hospital akan diberikan kod bagi setiap penyakit (ICD10) dan rawatan (ICD9CM) apabila dibenarkan discaj dari wad.

Kod berkenaan adalah sebagai pemudah cara membuat unjuran peruntukan dan kiraan kos serta bajet bagi setiap jenis penyakit dan rawatan.

Pelajar Sarjana Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaya (UM), Dr Mohamad Helmi Mohamad Yasim berkata, secara praktisnya, setiap pesakit yang discaj akan diberi koding mengikut penyakit dan rawatan yang diperlukan sebagai rujukan kepada pihak terlibat.

“Bagaimanapun, bagi sesetengah kes, koding yang tidak tepat dan salah serta lengkap memberi banyak implikasi dalam pengurusan kewangan dan unjuran perbelanjaan kepada sesebuah hospital secara khasnya.

“Sebagai contoh, pesakit kencing manis yang turut mempunyai penyakit lain seperti darah tinggi dan lemah jantung akan diberi tiga koding tetapi pemberi (coders) koding hanya memberi dua koding untuk dua penyakit sahaja dan ini satu kesalahan yang tidak wajar berlaku,” katanya.

Mohamad Helmi berkata demikian ketika membuat pembentangan bertajuk Kesalahan Koding-Implikasinya Kepada Bajet Hospital (Medical Coding Error-How It Affects The Budgeting of Hospital) sempena Persidangan Antarabangsa Sistem Klasifikasi Pesakit (PCSI) di Iceland yang berlangsung pada 27 hingga 30 September lalu.

Secara langsung dan tidak langsung, dia memberitahu, ia memberi implikasi peruntukan kewangan kepada hospital terlibat.

Katanya, koding sewajarnya diberi mengikut jumlah penyakit dan rawatan agar pihak terlibat boleh mengenal pasti jumlah perbelanjaan serta peruntukan kewangan di masa depan.

“Kaedah koding wajar dilihat secara komprehensif dan serius kerana impak kesalahan koding memberi kesan kepada industri dan sistem kesihatan negara. Di luar negara, pelaksanaan koding sangat penting.

“Kesalahan koding akan menyebabkan sama ada under coding (kos menjadi murah) atau overcoding (kos menjadi mahal).

“Bajet-perbelanjaan mengurus hospital bergantung kepada ketepatan koding kerana jika terdapat under coding atau over coding, implikasi negatif pengurusan kewangan hospital akan berlaku,” ujarnya lagi.

Mohamad Helmi menjelaskan, negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) tidak lagi menggunakan kaedah koding konvensional kerana telah beralih menggunakan kaedah kecerdasan buatan (AI).

Persidangan Antarabangsa Sistem Klasifikasi Pesakit merupakan pentas berprestij menghimpunkan pakar kesihatan awam, pakar analisis polisi kesihatan dan wakil daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dalam persidangan tahunan kali ke-35 itu, Iceland dipilih menjadi tuan rumah dan setiap tahun penganjuran akan dibuat di negara berbeza.

Tema tahun lalu ialah Case-mix Sebagai Asas Kelestarian Pengurusan Kesihatan (Casemix as a Foundation for Sustainable Health Management) yang dihadiri 255 peserta daripada 28 buah negara.

Topik dibincangkan meliputi kelestarian dalam kesihatan awam, impak Case-mix di negara-negara lain, polisi kesihatan awam dunia, perbelanjaan bagi menangani pandemik Covid-19 dan implikasi terhadap kesihatan dunia.

Artikel berkaitan

Negara kehilangan graduan perubatan UM terbaik setiap tahun

Pensyarah UM perkenal terapi ‘Protraction Headgear’, bantu kanak-kanak hadapi masalah rahang

25 sukarelawan UM sertai program CSI


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok