IKN-KONVO-SINARBESTARI-03112022
IKN-KONVO-SINARBESTARI-03112022

93 graduan IKN terima diploma dan sijil

nadzarul.amir
03 Nov 2022 03:25pm
A
A
A

Seramai 93 graduan Institut Kraf Negara (IKN) menerima diploma dan sijil pada Istiadat Konvokesyen IKN kali ke-20 di Dewan Cindai, IKN, Rawang, Selangor.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Saraya Arbi berkata, mulai tahun 2001 sehingga tahun 2021, IKN telah melahirkan seramai 2,810 orang graduan terlatih dan berkemahiran tinggi.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 1,588 orang atau 57 peratus merupakan graduan peringkat diploma manakala 1,197 orang atau 43 peratus graduan peringkat sijil dan seramai 25 orang merupakan graduan peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

“Kadar kebolehpasaran graduan IKN adalah cemerlang iaitu seramai 2,323 orang atau 83 peratus graduan berjaya meneruskan kerjaya dalam pelbagai bidang,” katanya ketika berucap merasmikan Istiadat Konvokesyen IKN kali ke-20 di Dewan Cindai, IKN hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ainu Sham Ramli.

Penerima terdiri daripada 46 graduan Diploma Seni Kraf, Sijil Seni Kraf (13) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM-23) meliputi enam jurusan seni kraf iaitu Seni Kraf Batik, Seni Kraf Tenunan, Seni Kraf Seramik, Seni Kraf Kayu, Seni Kraf Logam serta Seni Kraf Rotan.

Selain itu, 11 graduan dari Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam yang menerima Sijil Kemahiran Tenun Pahang Diraja.

Pada majlis tersebut turut dilancarkan Jurnal Seni Kraf Jilid Pertama yang memuatkan artikel pelbagai bidang seni kraf oleh tenaga pengajar akademik IKN.

Jurnal berkenaan menampilkan topik-topik menjurus kepada perkembangan teknik, bahan serta proses dalam menghasilkan karya seni kraf.

Dalam pada itu, Saraya berkata, antara nama besar dilahirkan IKN merupakan Pengasas Syarikat DS Gems & Jewellery, DS Group Empire dan Ammar Jewels, Mohamed Khairul Fikrie Mohamed Noor yang dianugerahkan sebagai Wira TVET Negara 2022 mewakili MOTAC.

Beliau menambah, graduan Jurusan Seni Kraf Batik tahun 2011, Amir Harith Kassim yang berkhidmat di syarikat Bujins L Batik Sdn Bhd turut menerima anugerah sempena The 6th International Craft Awards 2022 bagi kategori Lifetime Achivement for Contribution to the Sustainable Development of Craft Sector and Social Inclusion yang dianjurkan oleh Craft Village di New Delhi, India pada 22 Oktober 2022.

Selain itu, Saraya menambah beliau juga berjaya memenangi tempat pertama pertandingan Piala Seri Endon pada tahun 2012 dan 2016 malah menubuhkan Bujin Akademi sebagai tempat mempelajari seni kraf batik.

Sempena Istiadat Konvokesyen tersebut turut diadakan Pesta Konvokesyen yang menawarkan aktiviti menarik seperti Jualan Produk Kraf, Demonstrasi dan Interaktif Kraf, Pameran Produk Kraf Hasilan Pelajar serta Persembahan Kesenian.

IKN merupakan institusi yang menawarkan Program Diploma dan Sijil yang mendapat Akreditasi Penuh dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Artikel berkaitan

Kampus satelit bantu belia dalami kemahiran kraf

Tambang pulang pelajar IPT mahal, SPR diharap guna pendekatan undi pos

Pelajar boleh dapatkan buku serendah RM 1 di Jualan Gudang Karangkraf


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok