Sebahagian pelajar tempatan MEDIU semasa majlis konvokesyen.
Sebahagian pelajar tempatan MEDIU semasa majlis konvokesyen.

CEO baharu MEDIU berazam tingkatkan jumlah pelajar tempatan

Rasyidah Zulkifi
08 Aug 2022 09:31am
A
A
A

KUALA LUMPUR- Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) yang sudah bertapak lebih sedekad di Malaysia berazam untuk menambah jumlah pelajar tempatan di universiti yang terletak di Desa Petaling, Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Abdullah Saad A. Alarefi, dalam usaha untuk menambah bilangan kemasukan pelajar tempatan semester September 2022, MEDIU menawarkan 50 peratus pengurangan yuran untuk semua tahap dari program asasi ke doktor falsafah (PhD).

Sebahagian pelajar tempatan MEDIU semasa majlis konvokesyen.

“Pada masa ini hanya 20 peratus pelajar daripada 2,200 orang merupakan rakyat Malaysia, selebihnya adalah pelajar antarabangsa dari 90 buah negara serata dunia.

“Cabaran utama saya sebagai CEO baharu adalah meningkatkan jumlah pelajar tempatan di universiti ini.

“Kita mahu rakyat Malaysia menjadi sebahagian daripada warga pelajar MEDIU kerana universiti yang wujud sebagai lambang kerjasama pendidikan dan hubungan erat Arab Saudi dan Malaysia adalah universiti tempatan bukannya universiti dari luar,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Mengulas mengenai nama MEDIU yang sering disalah anggap sebagai cawangan universiti luar, katanya, ia disebabkan universiti tersebut diasaskan oleh cendekiawan dari Arab Saudi tetapi pihaknya telah mendapat kebenaran menggunakan nama Madinah sebagai melambangkan keagungan Islam.

Dr. Abdullah Saad, 50, yang berasal dari Arab Saudi menjelaskan, beliau akan menggunakan sepenuhnya pengalamannya dalam bidang undang-undang dan pentadbiran untuk memacu MEDIU menjadi antara universiti tempatan yang menjadi pilihan rakyat Malaysia sendiri.

Ujarnya lagi, mengenai program bahasa Arab di MEDIU, sewajarnya program tersebut disertai oleh bakal Haji dan Umrah bagi memudahkan mereka berinteraksi dengan masyarakat di Makkah dan Madinah.

“Insya-ALLAH kita akan mencadangkan kepada pihak berkuasa Haji termasuk agensi pelancongan untuk menggalakkan orang ramai menyertai kursus jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang bahasa Arab.

“MEDIU sejak lebih 10 tahun lalu telah melahirkan graduan yang fasih berbahasa Arab di samping memiliki ijazah, sarjana dan PhD dalam bidang seperti teknologi maklumat (IT), akaun dan lain-lain kursus,” tuturnya lanjut.

Beliau menambah, selain yuran pengajian yang berpatutan, pihak MEDIU turut menyediakan biasiswa kepada pelajar cemerlang dan yang memerlukan bantuan.

Ujarnya lagi, selain promosi kursus yang disediakan dari semasa ke semasa, beliau berharap alumni MEDIU dapat berkongsi pengalaman belajar kepada lepasan sekolah untuk menyambung pengajian di universiti tersebut.

“Apa yang saya inginkan, lebih ramai pelajar tempatan menyertai MEDIU pada masa depan. Persepsi MEDIU adalah universiti luar perlu ditepis, kerana kita adalah universiti tempatan yang mendapat sokongan kuat dari Arab Saudi,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai MEDIU boleh layari laman sesawang www.mediu.edu.my.

Artikel berkaitan

(VIDEO) Hanya sebulan bersekolah, pelajar ini tetap peroleh keputusan SPM cemerlang dengan bantuan DidikTV

Presiden Alumni UPM pertahan isu jumlah graduan PhD

Nilai 3K jadi panduan SK Felda Pasir Besar tingkatkan prestasi murid


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok