Untitled design (11)
Untitled design (11)

Diuji kehilangan bapa bukan penghalang raih ijazah sekali gus terima Hadiah Pingat Emas USM

Azleenda SahaludinAzleenda Sahaludin
04 Dec 2022 03:20pm

Walaupun diuji dengan kehilangan bapa tercinta ketika sedang berjuang di tahun akhir pengajian, namun ia tetap tidak mematahkan semangat anak kelahiran Kuala Ketih Kedah untuk berjaya mendapatkan segulung ijazah sekali gus penerima Hadiah Pingat Emas Universiti Sains Malaysia (USM).

Syed Muhammad Afifi Syed Md Ridzuan,

Syed Muhammad Afifi Syed Md Ridzuan, graduan dari Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (TESOL) berkata, dia dan keluarga amat berbangga dengan pencapaian ini atas usaha keras sepanjang empat tahun pengajian di USM.

“Meskipun diuji dengan kehilangan insan yang sentiasa mendorong saya untuk terus berjaya, akan tetapi saya menganggap ujian ini adalah pembakar semangat untuk saya capai ke tahap ini.

“Dan ijazah serta anugerah ini saya dedikasikan buat arwah bapa saya yang meninggal pada bulan Mei yang lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Hadiah Pingat Emas USM ini dianugerahkan kepada pelajar tahun akhir yang terbaik dalam segala lapangan bagi kategori HEBAT USM dihadiahkan oleh bekas Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Asma Ismail.

HEBAT USM ini menitikberatkan nilai H-Holistik, E-Entrepreneur, B-Balance, A-Articulate, T-Thinking yang perlu ada dalam diri setiap mahasiswa USM.

Syed Muhammad Afifi yang juga merupakan penerima pertama anugerah tersebut tidak menyangka usahanya untuk menjadi pelajar yang cemerlang dari sudut akademik dan kokurikulum membuahkan hasil yang membanggakan.

“Antara pencapaian dan sumbangan yang saya telah berikan adalah sebagai ahli USM Response Team sewaktu negara dan kampus mengalami pandemik Covid-19.

“Selain itu, saya juga pernah mengetuai projek sukarelawan membantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) serta memberi sumbangan ke Tabung Covid-19 USM,” ujarnya lagi.

Anak ketiga dari enam beradik dan merupakan anak lelaki tunggal turut memberitahu, anugerah ini adalah sebagai contoh untuk adik-adiknya yang lain di samping dapat mengubah nasib keluarga.

“Jangan terlalu meratapi sesuatu pemergian, kerana hidup perlu diteruskan.

“Anggaplah setiap dugaan dan cabaran sebagai dorongan untuk capai lebih banyak kejayaan,” tambahnya.

Hadiah Pingat Emas USM ini disampaikan kepada graduan-graduan yang terlibat bersempena Majlis Perasmian Ekspo Konvokesyen (ConvEx USM) 2022 kali ke-60.

Majlis perasmian ConvEx USM ini telah disempurnakan oleh Pro-Canselor, Tan Sri Datuk Dr Zulkefli A.Hassan bertempat di tapak konvokesyen.

Gosvindraj Munusamy

Pengarah projek ConvEx 2022, Gosvindraj Munusamy berkata, seramai 220 pelajar telah terlibat dalam menjayakan ekspo pada tahun ini dan mula menjalankan tugas sejak ogos yang lalu.

Pelajar yang terlibat dalam menjayakan ConvEx 2022.

Gosvindraj juga memaklumkan, selain peniaga dan pempamer, ekspo kali ini membawakan ‘zoo mini’ dan pameran kereta serta turut menampilkan persembahan daripada 50 artis tempatan, antaranya Bunkface, Imsoniacks dan Alyah.

“Ini adalah antara tarikan buat semua pengunjung untuk hadir bagi memeriahkan ConvEx pada tahun ini.

“Kami amat mengalukan bukan sahaja kepada warga kampus, malahan turut terbuka kepada orang luar untuk hadir sepanjang ia berlangsung,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Penghidap autisme penerima Anugerah Pingat Emas USM

Variasiswa USM 2022 lebih meriah selepas dua tahun Covid-19

Tidak pernah berpisah sejak kecil, kembar 3 teruja ikuti pengajian di USM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp