Galak kesedaran politik di usia muda mahasiswa selia aplikasi dalam talian bantu undi MPP universiti
Galak kesedaran politik di usia muda mahasiswa selia aplikasi dalam talian bantu undi MPP universiti

Galak kesedaran politik di usia muda, mahasiswa selia aplikasi dalam talian bantu undi MPP universiti

Rasyidah Zulkifi
17 Apr 2022 01:10pm
A
A
A

SERDANG - Lebih 70 peratus mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) terlibat dalam Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar 2022 (PMPP 2022) secara fizikal dan dalam talian pada tahun ini.

Pembuangan undi secara dalam talian diselia sepenuhnya oleh pelajar menggunakan aplikasi digital, Putra Voting bagi meningkatkan kesedaran politik di usia muda.

Baca juga

Pelajar teruja mengundi kali pertama di pilihan raya kampus, jalan tanggungjawab pilih pemimpin

UTeM laksana proses Pilihanraya Kampus secara dalam talian sepenuhnya

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UPM, Profesor Dr Arifin Abdu, PMPP 2022 mencerminkan mahasiswa mengambil peranan serius dalam memilih pemimpin dalam kalangan pelajar.

"Saya berbangga kempen lima hari proses pilihan raya kampus secara fizikal dan atas talian berjalan lancar dan aman.

“Selepas ini, aspek yang perlu ditingkatkan dalam PMPP ialah memastikan peratusan mahasiswa keluar mengundi lebih tinggi serta kesedaran politik mereka semakin meningkat.

"Ini pengalaman berharga kepada mereka yang akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi untuk negara kelak," katanya pada pengumuman keputusan PMPP 2022, baru-baru ini.

Kira-kira 34 kerusi fakulti dan 11 kerusi umum dipertandingkan dengan pencalonan 57 wakil fakulti dan 19 calon umum yang bertanding.

Keputusan berpihak kepada calon umum, Rabiatul Adawiyah Fathor Rasi yang meraih undian tertinggi iaitu 7,836 undi daripada keseluruhan 13,671 pengundi yang majoriti terdiri daripada pelajar berusia antara 18 hingga 23 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa PMPP (JPMPP) 2022, Kamil Arif Baihagi, berkata PMPP 2022 selari dengan pelaksanaan dan pewartaan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Salah satu mekanisme sokongan terhadap kelayakan undi 18 sebenarnya bermula daripada pilihan raya kampus.

"Ia menunjukkan generasi muda selaku pelapis arah tuju negara, menyokong proses demokrasi terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

"Pembabitan mahasiswa sebagai pembuat keputusan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada perubahan kampus UPM yang lebih berkebajikan, sejahtera dan berdaya saing," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Sebelum ini, JPMPP bekerjasama dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) menganjurkan tiga forum berkaitan pilihan raya bersama mahasiswa melibatkan beberapa pegawai SPR.

BHEP turut mengadakan pelbagai kempen komunikasi bagi menggalakkan mahasiswa keluar mengundi.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok