HomeIPTBuletin IPTGanjaran wang tunai jika raih emas di SUKUM ke-44

Ganjaran wang tunai jika raih emas di SUKUM ke-44

Ganjaran hadiah yang menarik setiap kali menyertai kejohanan sukan sudah tentu akan membangkitkan semangat atlet untuk mencapai sasaran diidamkan iaitu pingat emas.

Sehubungan itu, bagi menaikkan semangat atlet yang akan membawa cabaran di Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) ke-44, 2022, Naib Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Dr Razli Che Razak telah menawarkan ganjaran peribadi untuk mereka.

Malah, Ketua Kontinjen UMK, Khairul Eruwan Abdul Halim, turut menyatakan komitmen sama untuk memberikan insentif sekiranya atlet berjaya meraih emas sepanjang sukan itu berlangsung.

Pengumuman pemberian ganjaran itu kemudiannya disambut sorakan ‘UMK Boleh’ oleh 145 atlet yang menyertai kejohanan berkenaan.

Menurut Dr Razli, UMK menetapkan sasaran 12 pingat iaitu dua emas, dua perak dan lapan gangsa.

“UMK dengan kekuatan 145 atlet dan pegawai akan menyertai sembilan acara sukan yang dipertandingkan iaitu badminton, basikal, bola tampar lelaki, bola sepak senior, bola sepak veteran, memanah, ping pong, petanque dan tenpin boling.

“Bola sepak, petanque dan memanah antara acara sukan yang dilihat boleh menyumbang pingat dalam SUKUM kali ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Bendera SUKUM Ke-44, 2022 di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Kelantan, baru-baru ini.

 

Sukan berkenaan berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, mulai semalam dan akan berakhir pada 24 September depan.

Mengulas lanjut, beliau berharap kontinjen UMK akan menyerlahkan bakat kesukanan masing-masing sepanjang acara itu berlangsung dan membawa pingat.

“Oleh itu, besarlah harapan kami semua untuk melihat kontinjen UMK turut meraih kedudukan 10 terbaik nanti,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Persaingan sengit! Najmi Adli terkejut diumumkan johan deklamasi sajak

“Saya berhasrat jadi pendidik”, luah pelajar cemerlang STPM tanpa kad pengenalan, taraf kerakyatan

Ikon pelajar cemerlang SMT Sejingkat, duduki carta nombor 1 sekolah, terima tawaran belajar di Jepun


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok