USM
USM

Pelajar sekolah menengah kategori peralihan mantapkan kemahiran membaca, menulis Bahasa Melayu

Rasyidah Zulkifi
07 Oct 2022 10:41am
A
A
A

Urusan harian di sekolah kebanyakan mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu memandangkan ia merupakan ‘lingua franca’ di Malaysia.

Menurut Kamus Dewan Bahasa, ‘lingua franca’ bermaksud bahasa perhubungan antara masyarakat atau orang-orang yang berlainan bahasa.

Untuk itu, bulan ini merupakan bulan terakhir Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (SoLLaT), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang menganjurkan Program Pemantapan Bahasa Melayu yang telah berlangsung sejak Jun lalu.

Projek ini melibatkan beberapa aktiviti menarik seperti menjawab kertas ujian dan permainan interaktif. Kesemua aktiviti dijalankan dalam bilik darjah serta dewan sekolah.

Peserta yang berjaya mendapatkan markah paling tinggi akan diberikan ganjaran sebagai motivasi kepada kesemua pelajar yang terlibat supaya berusaha bersungguh-sungguh sepanjang program dijalankan.

Pelajar-pelajar SMK St Patrick bersama fasilitator program.

Menurut Penyelaras Program, Nur Faraliana Mohd Yusoff, kira-kira 79 orang pelajar Tingkatan Satu dan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan St Patrick di Kulim, Kedah terlibat dalam program berkenaan.

“Tujuan pelajar USM melibatkan diri sebagai fasilitator dalam program ini adalah untuk menggalakkan penglibatan daripada pelajar sekolah dan menarik minat mereka.

“Selain, faktor jurang umur yang tidak terlalu jauh memudahkan interaksi antara pelajar dan fasilitator dalam setiap aktiviti yang dilakukan.

“Fokus utama program ini adalah untuk membantu pelajar yang bermasalah meningkatkan kemahiran membaca dan menulis dalam mata pelajaran Bahasa Melayu,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK St Patrick, Hamidah Ghazali berkata, majoriti pelajar yang terlibat merupakan pelajar peralihan yang ketinggalan dalam pelajaran.

“Kami berharap agar pelajar dapat menerima manfaat yang banyak melalui program ini, terutamanya dalam meningkatkan kemahiran bertutur dan menulis.

“Selain itu, kebanyakan pelajar ini datang daripada keluarga B40, maka, kami berharap dengan adanya program sebegini dapat membantu mereka memperbaiki ekonomi dan status keluarga pada masa akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, salah seorang fasilitator USM, Ahmad Ikmal Hakimi yang merupakan penuntut Tahun Satu, Pusat Pengajian Sains Kajihayat, berkata, matlamat utama program ini adalah bagi memantapkan lagi penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah.

“Ini disebabkan sebahagian daripada mereka mempunyai masalah untuk mengeja, membina ayat yang lengkap dan menyiapkan karangan.

“Jadi, program ini akan membantu membina keyakinan diri pelajar dan menambahkan kemahiran berbahasa sebagai persediaan menduduki peperiksaan yang akan datang,” jelasnya.

Artikel berkaitan 

Permohonan Skim Biasiswa Pelajaran Baitulmal negeri Perak kepada pelajar sekolah menengah sudah dibuka!

3 pelajar sekolah menengah dibuli mental dan fizikal, meninggalkan kesan berpanjangan dalam kehidupan

Pelajar sekolah menengah jalani PdPR 2 minggu bermula 21 Mac ini


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok