Untitled design
Untitled design

Taman Botani jadi projek edu pelancongan UUM

Norliza Wasilan
03 Aug 2022 01:51pm
A
A
A

Universiti Utara Malaysia (UUM) giatmembangunkan kawasan seluas 10 hektar Taman Botani institusi pengajian tinggi (IPT) itu sebagai produk edu pelancongan bagi meningkatkan kesedaran menghargai sumber alam semula jadi.

Oleh itu, bagi merealisasikan usaha ke arah itu, UUM kini meningkatkan usaha melakukan kerja pembaikan dan penyelenggaraan antaranya menyediakan kemudahan riadah serta memaparkan maklumat mengenai tumbuhan.

Naib Canselornya, Profesor Dr Haim Hilman berkata, kawasan berkenaan berpotensi menjadi tarikan untuk mendedahkan masyarakat dan juga pelancong asing mengenai kekayaan tumbuhan dan sumber hutan di negara ini.

Jelasnya, pengunjung yang berhasrat menjejakkan kaki ke taman berkenaan juga boleh melakukan pelbagai aktiviti riadah bersama keluarga dan pada masa sama menerbitkan perasaan cinta kepada alam.

“Inisiatif ini diambil demi melindungi, memelihara dan memulihara tumbuh-tumbuhan asli yang bernilai tinggi khususnya pokok kebangsaan Malaysia iaitu Merbau.

“Kawasan hutan yang menghijau cukup cantik dan mendamaikan ini kaya dengan pelbagai tumbuhan istimewa seperti 50 spesies pokok palma, 14 spesies buluh, 33 spesies pokok hiasan, empat spesies pokok landskap dan 70 spesies pokok hutan asal selain 43 spesies pokok yang ditanam untuk pengekalan spesies 'ex-situ'.

“Pengunjung boleh melakukan aktiviti santai yang menyihatkan seperti bersiar-siar, bergambar, berjoging, berkayak di kolam botani dan belajar tentang tumbuh-tumbuhan seterusnya menerbitkan rasa cinta terhadap alam,” ujarnya ketika melawat Taman Botani sempena Program Perhimpunan Bulanan UUM, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Penolong Pemelihara Hutan, Amran Mahmud memaklumkan bahawa Taman Botani itu bertindak sebagai pusat pengumpulan spesies tumbuh-tumbuhan untuk pembelajaran, pemeliharaan serta pemuliharaan secara lestari.

“Pengunjung juga boleh mengambil kesempatan melakukan riadah sekitar kawasan taman yang turut dilengkapi kemudahan asas seperti wakaf, trek pejalan kaki dan tandas,” ujarnya.

 

Artikel berkaitan

Malaysia – Jepun jalin kerjasama, kukuh bidang Sains, Teknologi dan Inovasi

4 guru KV Keningau lakar kejayaan di Amerika Syarikat

Pupuk kesedaran masyarakat, kepentingan pemeliharaan hidupan marin


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok