Murid Tahun 5 bawa pulang 8 anugerah! Keputusan yang mengejutkan ramai
Murid Tahun 5 bawa pulang 8 anugerah! Keputusan yang mengejutkan ramai

Murid Tahun 5 bawa pulang 8 anugerah! Keputusan yang mengejutkan ramai

Roshlawaty Md Raieh
12 Sep 2022 12:13pm
A
A
A

Dua pasukan yang terdiri daripada murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kampung Tengah, Kluang, Johor berjaya membawa pulang dua anugerah emas dan enam anugerah gangsa dalam Pertandingan Makers@USM International Virtual Fair 2022.

Pasukan pertama yang terdiri daripada Nur Iman Nasuha Ramly, Lailatu Wahida Zailan dan Ratu Auna Darina Raden Helme telah menghasilkan produk Multi Purpose Bag.

Manakala pasukan kedua yang terdiri daripada Muhazab Fauzan Mohd Faizal, Muhammad Zaim Muqriz Mohd Helmee dan Muhammad Harraz Khaizuran Hairol pula menghasilkan produk Smart Watering Plants.

Berita kemenangan tersebut dikongsi oleh Cikgu Noor Halini Allias kepada Sinar Bestari menerusi emel baru-baru ini.

Beliau yang juga guru pembimbing bagi kedua-dua pasukan tersebut memberitahu, kejayaan para pelajar tersebut sangat memeranjatkan kerana semua peserta yang bertanding hebat-hebat belaka.

“Pertandingan Makers@USM International Virtual Fair 2022 sangat sengit kerana setiap peserta diminta untuk membentangkan projek dan menjawab soalan juri di dalam Bahasa Inggeris.

“SK Seri Kampung Tengah menghantar lapan penyertaan dan alhamdulillah dua pasukan berjaya ke peringkat akhir.

“Saya akui, dalam Makers@USM International Virtual Fair 2022 terlalu banyak cabarannya. Namun sebagai guru pembimbing, saya sentiasa ingatkan kepada peserta supaya buat yang terbaik dan inilah hasilnya,” katanya gembira.

Pertandingan Makers@USM International Virtual Fair 2022 yang dikelolakan Universiti Sains Malaysia (USM) dianjurkan sebagai satu inisiatif melahirkan pelajar yang kreatif, bijak mencipta, berkongsi dan melibatkan diri dalam sesuatu yang diminati.

Ia adalah platform untuk pelajar mencipta inovasi, melahirkan idea baharu dan mengatasi masalah serta cabaran sepanjang proses tersebut.

Dalam masa sama, pelajar juga dapat meningkatkan kemahiran komunikasi dan berbahasa Inggeris kerana pertandingan peringkat antarabangsa ini memerlukan pelajar membentangkan projek dan menjawab soalan juri secara spontan di dalam bahasa tersebut.

Selain itu, objektif pertandingan adalah untuk melahirkan pelajar yang berkemahiran tinggi, bertukar idea dan inovatif secara global di pentas antarabangsa seterusnya memberi manfaat kepada komuniti dan negara.

Pelajar perlu mencipta, menulis abstrak dan menghasilkan video untuk menerangkan tentang inovasi mereka.

Pertandingan yang dijalankan secara virtual pada tahun ini melibatkan penyertaan daripada pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti tempatan dan juga luar negara seperti dari Indonesia, Taiwan, Vietnam, Hong Kong dan Thailand.

Pertandingan yang berlangsung pada 15 hingga 18 Ogos lalu diadakan secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom.

Sementara itu, Guru Besar, (SK) Seri Kampung Tengah, Norizam Junid berkata, pertandingan yang dilaksanakan itu mampu membentuk pemikiran kreatif dan kesedaran pentingnya memelihara alam sekitar.

Malah, ia juga mendidik murid bekerja secara sepasukan, bertoleransi dan menghormati pendapat serta menyantuni perbezaan idea.

“Tahniah kepada Cikgu Noor Halini dan pasukannya yang berjaya mengharumkan nama sekolah ke pertandingan peringkat antarabangsa ini.

“Saya berharap kejayaan demi kejayaan akan terus diraih oleh SK Seri Kampung Tengah dalam apa jua pertandingan selepas ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Cikgu Norizam berkata, proses mencipta membentuk murid berjiwa besar dan berani, berdaya saing, tenang mendepani tekanan malah terus kreatif menyelesaikan sebarang masalah.

"Dan akhirnya, ia membawa bakat murid kepada kemenjadian holistik selari dengan agenda bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam merealisasikan program TS25 KPM," katanya.

Artikel berkaitan 

Inovasi guru dan murid SK Bandar Baru berjaya raih pelbagai anugerah peringkat antarabangsa

Hebat Alesyah, tersenarai 10 finalis terbaik dalam anugerah berprestij di dunia

Profesor Gred Khas ‘A’ bidang komposit, saintis terbaik dunia, Malaysia terima anugerah khas


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok