Faizul dinobat Ikon Ulul Albab UPSI, sedia galas tanggungjawab
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Malaysia Dengan Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Faizul Nazrul Hamzah dinobatkan Ikon Ulul Albab UPSI 2021 pada Misi Pencarian Ikon Ulul Albab 3.0, UPSI baru-baru ini.
Dengan pengiktirafan tersebut, Muhammad Faizul Nazrul akan membawa imej seorang ikon yang pastinya akan menjadi ikutan ramai.
Tempat kedua bagi program itu menjadi milik pelajar Ijazah Sarjana Muda Tahfiz & Qiraat Dengan Pendidikan, Rahiq Mohamad Rodi manakala tempat ketiga dan keempat disandang oleh dua pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab Dengan Pendidikan iaitu Nur Sabrina Ramli dan Norhadisah Mohamed Shalikin.
Hadiah kepada semua pemenang disampaikan oleh Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, Toh Seri Lela Paduka Datuk Dr Khalid Ismail.
Dalam ucapannya, beliau berharap program berkenaan menjadi pemangkin dalam melahirkan pemimpin mahasiswa yang berketrampilan.
Terdahulu, seramai 23 peserta terpilih dalam peringkat saringan pada Misi Pencarian Ikon Ulul Albab 3.0, UPSI.
Namun, hanya 10 peserta sahaja berjaya melepasi syarat penyertaan yang dilaksanakan secara dalam talian menggunakan aplikasi Google Meet.
Mereka layak ke peringkat akhir dan pertandingan dilaksanakan secara bersemuka di Dewan Sri Tanjong, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
Program anjuran Pusat Ulul Albab (PUA), UPSI bertujuan melahirkan tokoh Ulul Albab yang bercirikan khalifah profesional, berfikiran kreatif dan mencipta keputusan berasaskan quranik, ensiklopedik dan ijtihadik (QEI) serta melatih bakal pemimpin yang bijak menguruskan organisasi, keterampilan, berani mengutarakan pendapat dan sedia berkongsi idea.
Misi Pencarian Ikon Ulul Albab 3.0 ini terbuka kepada semua ahli Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) yang telah melepasi syarat penyertaan iaitu nilai PNGK sekurang-kurangnya 3.5, menyertai Pensijilan Profesional Ulul Albab serta Program Ulul Albab Peringkat 1 (P1) dan Peringkat 2 (P2).
Sementara itu, Pengarah program, Masrihanna Masrupi berkata, pelbagai pengalaman bernilai yang diperoleh peserta melalui cabaran yang diberikan sepanjang program berlangsung.
“Ia sekali gus dapat menghasilkan graduan yang berakhlak mulia dan mampu menguasai pelbagai bidang yang menggabungkan tuntutan duniawi dan ukhrawi.
“Secara tak langsung ia membuktikan bahawa universiti ini mampu melahirkan mahasiswa yang hebat dan berkualiti,” ujarnya.
INFO
1) “Misi Pencarian Ikon Ulul Albab 3.0 merupakan platform yang baik untuk memberi peluang kepada ahli KeSUA untuk berkongsi idea dan hujah dalam mengasah bakat kepimpinan dalam diri mereka.”
- Pengarah PUA, Prof Dr Abd Halim Ali
2) “Panel dapat menilai kebolehan mahasiswa dalam penguasaan bahasa asing dan menjadikan mereka sebagai seorang yang berkeupayaan berdepan dengan pelbagai cabaran di samping berfikiran kreatif dan inovatif serta berteknologi tinggi.”
- Penasihat KeSUA, Nor Hayati Aziz
3) “Program selama tiga hari ini berjaya memperlihatkan kredibiliti dan kreativiti ahli sepanjang ia berlangsung. Selain itu, ia dapat menghasilkan graduan yang mempunyai ciri kebolehpasaran tinggi serta memenuhi tuntutan pihak universiti bagi menghasilkan graduan cemerlang akademik dan akhlak.”
- Yang DiPertua KeSUA, Muhammad Sobirin Jailani
Artikel berkaitan
Tak dapat konvo seperti orang lain, Muhammad Rosli reda ujian ALLAH
Manfaat aktiviti selepas sesi persekolahan, Cikgu Nasir ada jawapannya
Mahu menjadi Pakar Bedah? Ini 7 gabungan yang perlu pelajar ada