Untitled design (62)
Untitled design (62)

Guru kaunseling perlu jadi pendengar setia

Azleenda Sahaludin
03 Jan 2023 05:12pm
A
A
A

“Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka” (Surah Ar-Rad ayat 11).

Itulah petikan ayat suci al-Quran yang dirujuk oleh guru bimbingan dan kaunseling, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, Kedah, Cikgu Zurina Zakaria, mengenai isu keciciran pelajar.

Cikgu Zurina.

Cikgu Zurina yang telah berkhidmat sebagai guru kaunseling selama 25 tahun memaklumkan, isu keciciran bukan satu perkara baharu, malah ia sudah lama wujud dalam sistem pendidikan negara.

Beliau turut berkata, di sekolahnya isu berkenaan mula dikesan seawal tahun 2015 apabila pengetua sekolah memberitahu jumlah kehadiran murid-murid Tingkatan Lima semakin hari semakin menurun.

Ini tidak terkecuali bagi pelajar Tingkatan Satu hingga Empat yang turut menunjukkan trend peratusan tidak memberangsangkan.

Beri kaunseling bukan nasihat

Melihat kepada kepentingan isu itu untuk ditangani segera demi kemajuan masa depan negara, Cikgu Zurina memberitahu, guru di sekolah perlu tahu sekurang-kurangnya pengetahuan asas dalam kaunseling bagi mendekati pelajar yang berisiko cicir.

Bagi guru kaunseling sepertinya, pendekatan melalui kaedah tersebut lebih efektif jika dibandingkan dengan memberi nasihat yang hanya akan ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’.

“Tidak semua pelajar terbuka dan mahu menerima nasihat daripada orang luar mahupun gurunya sendiri.

“Jadi kaedah kaunseling dengan bertanya sebab pelajar tidak hadir ke sekolah adalah lebih utama sebelum bertindak melulu dengan membuat spekulasi sendiri.

“Sebagai guru subjek atau kaunselor, penting meminjamkan telinga untuk mendengar luahan pelajar supaya mereka berasa selesa untuk berkongsi keadaan agar kita dapat berikan bantuan yang sepatutnya,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Ambil tindakan segera

Selain itu, Cikgu Zurina turut menjelaskan prosedur yang perlu diambil kepada pelajar yang berisiko cicir ini.

Tuturnya, terdapat tiga amaran yang akan dikeluarkan pihak sekolah sekiranya mendapati pelajar tidak hadir ke sekolah untuk jangka masa lama atau berturut-turut.

Amaran pertama akan dikeluarkan sekiranya pelajar tidak hadir ke sekolah selama tiga hari tanpa sebab dan amaran kedua pula dikeluarkan kepada mereka yang tidak hadir selama seminggu atau lebih.

Tambah beliau, pihak sekolah melalui guru kaunseling akan mula mengambil tindakan mengesan pelajar ini seawal mereka diberikan amaran kedua.

Antara tindakan yang diambil adalah melakukan ziarah cakna ke rumah pelajar terlibat.

Sekiranya tindakan pelajar yang tidak hadir ke sekolah ini berpunca daripada faktor kewangan, pihak sekolah menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu mereka meneruskan persekolahan tanpa perlu memikirkan soal duit.

“Alhamdulillah, pihak sekolah dengan bantuan Pusat Zakat Kedah dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) ada menyediakan bantuan wang saku kepada pelajar yang memerlukan.

“Wang saku ini berbentuk kupon untuk digunakan di kantin sekolah malah kami turut menyediakan wang tunai kepada mereka untuk membeli minyak motosikal.

“Ini kerana kebanyakan pelajar menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama,” ujarnya lagi.

Jelas Cikgu Zurina, setakat ini ramai pelajar yang dahulunya berisiko cicir berjaya diselamatkan dengan bantuan daripada pihak yang terlibat.

Malah, ada sesetengah pelajar tersebut telah berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah.

Jelasnya, dorongan dan nasihat tentang tiada siapa yang mampu mengubah nasib keluarga melainkan pelajar itu sendiri amat membantu menyedarkan mereka untuk meneruskan sesi persekolahan.

Tugas dan tanggungjawab seorang guru kaunseling

1. Beri perhatian

Kaunselor sekolah perlu sentiasa cakna dan beri perhatian kepada mana-mana pelajar yang menunjukkan tanda-tanda keciciran seperti tidak hadir ke sekolah untuk jangka masa panjang.

2. Soal jawab melalui alat inventory Depression Anxiety Stres Scale (DASS)

Bertujuan untuk mengesan pelajar yang mengalami kemurungan, stres sehingga menyebabkan pelajar tidak dapat fokus dalam kelas dan akhirnya menjejaskan akademik.

3.Soal jawab melalui alat Inventori Minat Kerjaya Sidek

Bertujuan untuk mengesan minat pelajar terhadap sesuatu perkara. Ini akan membantu kaunselor sekolah dan guru mengesan minat dan kecenderungan pelajar. Ia juga boleh membantu menyedarkan pelajar kepentingan pendidikan demi mencapai minat dan cita-cita tersebut.

Artikel berkaitan

Perlu ambil langkah serius tangani isu keciciran pelajar

3 kaedah mudah tangani keciciran murid Orang Asli, ini perkongsian Ustaz Quszaini

UUM jalin kerjasama dengan kerajaan negeri Kedah tangani isu keciciran pelajar


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok