utm-graduan-konvokesyen
utm-graduan-konvokesyen

Hanya belanja RM2 sehari untuk makan, anak berjaya hadiahkan ijazah kepada bapa

webadmin
02 Jun 2022 04:44pm
A
A
A

Dalam usaha mengejar ilmu, kita tidak akan lari daripada berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan kerana itulah sebahagian lumrah kehidupan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bioperubatan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Nurul Izzati Darul Zaman, 24, sempat berkongsi tentang kisahnya yang tidak terkecuali dalam menempuh cabaran kehidupan.

Berikutan kekangan kewangan yang dihadapi keluarganya, Nurul Izzati terpaksa melakukan pengorbanan dengan berbelanja hanya RM2 saja setiap hari untuk kos makan dan situasi berkenaan berterusan selama dua bulan.

“Waktu itu ayah saya terpaksa berhenti berniaga kerana perniagaan tidak memperoleh keuntungan dan warung kami di medan selera terpaksa diberhentikan sebab tidak dapat membayar sewa.

“Pada masa yang sama, satu persatu kenderaan yang kami gunakan untuk bergerak ke mana- mana juga rosak. Jadi, keperluan duit memang sangat terhad untuk menampung kos kehidupan harian,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Meskipun menghadapi masalah kewangan, dia tetap mengambil inisiatif untuk berkongsi duit pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diterimanya bersama keluarga untuk menampung keperluan membeli makanan.

“Semasa di kolej, saya beli sebungkus nasi dengan nugget berharga RM2 untuk dimakan dengan kicap.

“Itu sajalah yang menjadi peneman setia untuk saya meneruskan kehidupan selama dua bulan di kolej sehinggalah saya berjaya menerima biasiswa tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” jelasnya.

Anak sulung kepada pasangan Darul Zaman Abdul Hamid yang berkerja sebagai peniaga cendol menggunakan motosikal roda tiga dan Rahumathu Begum, suri rumah ini memanjatkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga kerana berjaya menggenggam ijazah di Majlis Konvokesyen UTM ke-65, yang diadakan baru-baru ini.

Menyifatkan kehidupan keluarganya yang sederhana, Nurul Izzati tidak pernah kesal dan sentiasa menyokong keputusan ayahnya untuk meneruskan perniagaan legasi keluarga mereka malah dia sentiasa mendapat inspirasi dengan tekad bapanya dalam memastikan setiap anak-anaknya mendapat pendidikan yang sempurna.

Nurul Izzati turut meluahkan rasa bertuah kerana tidak pernah dipandang rendah oleh rakan-rakan dan para pensyarah, malah sentiasa mendapat sokongan serta dorongan semangat daripada mereka.

“Saya menganggap situasi keluarga saya dan dugaan yang dihadapi sebelum ini sebagai satu aturan yang ditentukan oleh Tuhan untuk saya membesar dan menjalani hidup dengan lebih kuat serta matang.

“Tiada sebab untuk saya patah semangat dan putus harapan bagi meneruskan pembelajaran hanya kerana dugaan sekecil itu.

“Kejayaan ini, saya dedikasikan kepada keluarga tercinta dan juga sebagai bukti kepada individu yang pernah memandang remeh terhadap potensi diri dan keluarga saya bahawa kami juga mampu untuk berjaya seperti orang lain,” tambahnya.

Kini, Nurul Izzati meneruskan perjalanan untuk menunaikan impian keluarga bagi mendapatkan gelaran doktor falsafah dengan melanjutkan pengajian sarjana penyelidikan di UTM dalam jurusan yang sama dengan bantuan biasiswa.

Artikel berkaitan

Disiplin diri kunci kejayaan pelajar UTM, rangkul Anugerah Canselor dan Anugerah Akademik

UTM hasilkan kaki palsu evolusi baharu dengan teknologi 3D

Menang Anugerah Siswa Johor Terbaik Keusahawanan, pelajar UTM kongsi rahsia kejayaan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok