DRON-IPT-SINARBESTARI-2023 (1)
DRON-IPT-SINARBESTARI-2023 (1)

Ilmu pengendalian dron dalam kalangan pelajar.Pelajari dron bukan hanya sekadar untuk menerbangkannya

nadzarul.amir
10 Jan 2023 12:20pm
A
A
A

Umum mengetahui dron kini mula berkembang penggunaannya dalam pelbagai industri termasuk pendidikan.

Di luar negara seperti Eropah dan Amerika Syarikat (AS), dron dilihat telah ‘terbang’ sebagai alat pembelajaran khususnya di institusi pendidikan di mana pelajar mula didedahkan dengan gajet itu dalam usaha mempersiapkan mereka untuk masa depan.

Malaysia tidak terkecuali apabila semakin ramai yang mula mempelajari ilmu pengendalian dron terutamanya dalam kalangan para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Ini kerana selain dijadikan sebagai hobi ia juga boleh menjana pendapatan sampingan sekiranya pelajar memiliki sijil profesional pengendalian dron.

Buat mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini, cabaran dan halangan ditempuh sepanjang proses pembelajaran adalah pengalaman yang cukup berharga.

Untuk itu, minggu ini Sinar Bestari kongsikan maklumat kepada pelajar yang berminat dalam pengendalian dron daripada dua Jurutera Pengajar, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Rohaina Jaafar.

Rohaina Jaafar

Merupakan Jurutera Pengajar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) UTeM serta diiktiraf sebagai pengendali dron wanita pertama di negara ini.

Menurut Rohaina, pengiktirafan tersebut secara tidak langsung dilihat sebagai pengetahuan baharu tentang undang-undang penerbangan dron secara rasmi.

Katanya lagi, melihat kepada permintaan tinggi daripada pelbagai industri terhadap pengendalian dron, ia telah mendorong lebih ramai penglibatan terutamanya dalam kalangan pelajar untuk mendalami ilmu ini.

Keperluan industri hari ini dilihat semakin meningkat lebih-lebih lagi penggunaan dron tersebut mampu menjimatkan masa dan tenaga.

Malah melalui penjimatan berkenaan ia juga boleh mengurangkan kos perbelanjaan dalam sesuatu bidang.

Tambah Rohaina lagi, terdapat banyak manfaat dalam mempelajari ilmu pengendalian dron seawal usia muda.

Ini kerana, pada usia tersebut penerapan ilmu mudah dilakukan dan dipupuk selain daripada hanya mempunyai minat yang mendalam.

”Pelajar perlu mengetahui ilmu pengendalian dron bukan hanya terikat sekadar ingin terbangkan dron semata-mata.

”Tetapi mereka juga akan diterapkan dengan ilmu elektronik dengan mengetahui fungsi setiap komponen dalam penghasilan dron terutamanya dron DIY.

”Ia juga dilihat mampu membentuk sifat sabar dalam kalangan pelajar memandangkan terdapat beberapa komponen-komponen bersaiz kecil dan ia akan mengambil masa yang lama untuk menghasilkan dron DIY ini,” ujarnya.

Selain itu, Rohaina mendedahkan cabaran yang perlu ditempuh oleh mereka yang berminat untuk mempelajari pengendalian dron.

Ini kerana, pengendalian dron bukan sekadar untuk menerbangkannya, malah pelajar juga perlu mendalami cara-cara pemasangan serta program dengan betul.

Dalam pada itu, terdapat undang-undang yang perlu dipelajari terlebih dahulu memandangkan sesetengah kawasan dan persekitaran tidak dibenarkan untuk menerbangkan dron.

Jelasnya, walaupun mengambil masa untuk mendalami perkara berkenaan namun pelajar hendaklah sentiasa rajin menuntut ilmu kerana dengan adanya sijil profesional pengendalian dron, ia merupakan satu nilai tambah apabila menamatkan pengajian kelak.

Raeihah Mohd Zain

Raeihah Mohd Zain

Bersama Rohaina, Raeihah juga merupakan Jurutera Pengajar di UTeM yang turut diiktiraf sebagai pengendali dron wanita profesional pertama berjaya melengkapkan kursus Training of Trainer (TOT) in Drone Theory & Piloting Training di Technology Park Malaysia (TPM), Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan seterusnya mendapat pengiktirafan dari Terra Drone Technology Malaysia Sdn Bhd.

Tutur Raeihah, pengiktirafan yang diterima membolehkan beliau menambah ilmu, kemahiran dan cara pengendalian dron sebenar serta lebih yakin untuk mengendalikan gajet tersebut secara profesional.

Katanya lagi, pelajar yang mempunyai sijil profesional boleh digunakan untuk menjana pendapatan sampingan.

”Khidmat dron kini banyak digunakan untuk merakam video majlis-majlis rasmi antaranya perkahwinan atau konvokesyen.

”Jika dilihat, hari ini permintaan sudut pandangan untuk video adalah pelbagai dan sudut pandangan udara adalah antara yang sukar untuk dilakukan,” ujarnya.

Raeihah menjelaskan, walaupun masih belum wujud kursus rasmi pengendalian dron di peringkat IPT namun sekiranya berminat, pelajar boleh memilih kursus melibatkan bidang robotik atau elektronik kejuruteraan.

Katanya, terdapat beberapa universiti yang menawarkan pembelajaran jangka pendek bagi program pengendalian dron.

Di UTeM, pelajar digalakkan untuk memiliki sekurang-kurangnya satu sijil profesional dalam pelbagai bidang dan pengendalian dron.

Artikel berkaitan

Rakaman nadir dron tawan hati Mohd Die Shuhainie. Kerjaya juruterbang dron dapat permintaan

Dron bukan sekadar hobi. Mampu membantu mengembangkan minat dan kerjaya dalam kalangan pelajar

Teknologi dron dan cabaran masa hadapan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok